Ashraf (tengah) bersama Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif (tiga dari kiri) selepas membuat laporan di Balai Polis Putra, Kuala Lumpur, petang semalam.

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat ke atas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berhubung kenyataannya bahawa tawaran Perdana Menteri sejajar dengan hasrat Raja-raja akhiri kemelut kuasa.

Laporan dibuat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Balai Polis Putra, Jalan Datuk Haji Eusoff, di sini, petang semalam, yang menyifatkan kenyataan Annuar itu sebagai cubaan mengheret Institusi Raja-Raja dalam kemelut politik hari ini.

“Saya telah membaca satu kenyataan media dari laman Malaysia Kini bertajuk, Annuar: Tawaran PM Sejajar Hasrat Raja-raja, Rakyat Akhiri Kemelut Kuasa.

“Tindakan pemimpin ini sebagai tidak berperlembagaan dan cuba mengheret Institusi Raja-Raja Melayu ke dalam kemelut politik yang berlaku ketika ini.

“Putra minta polis menjalankan siasatan ke atas Annuar serta mana-mana yang terlibat dalam hal berkenaan,” kata Ketua Penerangan Putra Malaysia, Ashraf Rosli.

Menurut beliau, sekiranya benar kenyataan yang dilaporkan media berkenaan, tindakan tegas perlu diambil ke atas Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dari UMNO.

Dalam kenyataan itu, Annuar dilaporkan berkata, tawaran yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sejajar dengan hasrat kerajaan dan rakyat untuk mengakhiri kemelut politik tanah air.

Kata beliau, tinjauan jelas mendapati sentimen rakyat tidak suka kepada tindakan bersifat politicking dan berebut kuasa.

Malah, titah ucapan dari Raja–raja dan Sultan di Johor, Selangor, Pahang juga menunjukkan hasrat yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast