Secretary-General of DAP, Lim Guan Eng. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 10 NOVEMBER 2019 President DAP election central committee influence
Lim Guan Eng. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 10 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Gabungan Pakatan Harapan (PH) hari melakukan sesuatu yang drastik apabila memberi lampu hijau kepada ahli-ahli Parlimennya untuk berbincang dan bercakap dengan pihak  lawan mengenai keadaan politik.

Tetapi kebenaran itu dikecualikan kepada tiga pemimpin teratas dalam PH yang perlu saling berunding sesama mereka sebelum berbuat sedemikian, kata Timbalan Presiden PH, Lim Guan Eng.

“Majlis Presiden PH telah membenarkan semua pemimpin bebas untuk berbincang dan bercakap dengan pihak lawan mengenai keadaan politik kecuali tiga pemimpin teratas dalam PH yang perlu saling berunding sesama mereka sebelum berbuat sedemikian.

“Selain tiga pemimpin teratas daripada DAP, PKR dan Amanah, ramai ahli Parlimen dan pemimpin daripada ketiga-tiga parti dalam PH secara sendiri telah mengadakan banyak perbincangan dengan seteru politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun Guan Eng berkata, perbincangan seperti itu tertakluk kepada persetujuan daripada kepimpinan parti masing-masing dan Majlis Presiden PH.

“Ahli-ahli DAP tidak boleh membiarkan laporan media berbaur anti-DAP ini memberi gambaran buruk terhadap DAP sehingga memecahbelahkan parti kita,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu merujuk kepada laporan media yang memetik kenyataan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang mencadangkan agar idea Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kerajaan bipartisan dibincangkan.

“Saya fikir semua parti politik patut duduk berbincang jika syarat-syaratnya boleh diterima atau tidak, atau bagaimana?” ciap bekas Timbalan Menteri PH itu.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, PH bersama dengan dengan blok pembangkang yang terdiri daripada 105 ahli Parlimen tidak boleh membuang masa dan sebaliknya menggunakan pendekatan khemah besar untuk menuntut kembali mandat mereka sebagai kerajaan yang dipilih mengikut Perlembagaan oleh rakyat.

Hanya dengan bermula dengan 105 ahli Parlimen pembangkang sebagai asas, Ahli Parlimen PH Plus dapat menuntut kembali mandat pilihan raya 2018.

“Kedua-dua Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Shafie Apdal memikul tanggungjawab untuk bekerjasama bagi mengembalikan mandat rakyat.

“Perlu ada alternatif yang jelas terhadap Kerajaan PN yang telah gagal menyebabkan rekod tertinggi jangkitan dan kematian serta kegagalan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan ekonomi.

“Mengekalkan Kerajaan PN yang telah gagal bukanlah jalan keluar untuk masalah yang dihadapi oleh negara, sedangkan masalah sebenar adalah seluruh Kerajaan PN itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette