Indentiti ketiga-tiga mangsa masih belum dikenal pasti susulan kesemua mereka rentung sepenuhnya.

GEORGE TOWN – Pihak polis menyeru orang awam tampil ke balai polis berhampiran sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang hilang atau tidak balik ke rumah dalam tempoh melebihi 24 jam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ia bagi membantu siasatan insiden tiga individu rentung dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri berhampiran Hospital Lam Wah Ee di sini, hari ini.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan ketika ini termasuk mengenal pasti identiti ketiga-tiga mangsa terbabit.

Soffian Santong.

“Selain itu, siasatan mengenai punca kejadian turut dijalankan.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nizam Abdullah di talian 010-9771517 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 pagi dan anggota bomba yang berada di lokasi memadamkan api sebelum melalukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.

“Tiga mangsa terbabit ditemui dalam keadaan 90 peratus rentung dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengakutan Jalan 1987,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 

3 rentung dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan tiga individu rentung selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu melanggar sebatang pokok sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Masjid Negeri di sini.

Kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita rentung sepenuhnya akibat terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios.

Identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini, memandangkan mangsa serta kereta tersebut hangus sepenuhnya. – MalaysiaGazette