Lambaian terakhir Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

SEMALAM seluruh rakyat tertanya-tanya apa akan berlaku pada hari ini, Isnin 16 Ogos 2021.

Semuanya terjawab, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Peletakan jawatan itu juga bermakna seluruh ahli Jemaah Menteri turut meletakkan jawatan, tak tertinggal seorang menteri dan timbalan menteri pun dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan ini dibentuk pada 1 Mac 2020, serentak dengan angkat sumpah Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, sebaik sahaja Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dari mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari 2020.

Pada tarikh itu juga Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim untuk tempoh satu minggu, sebelum melepaskan baton pentadbiran kerajaan baharu kepada Muhyiddin.

Dalam perutusan akhir Muhyiddin pada jam 3.30 petang ini, beliau menyatakan, keputusan yang dibuatnya itu selaras dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu disebabkan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Sungguhpun berat hati berbuat demikian kerana memikirkan masalah rakyat yang terhimpit dengan pandemik Covid-19 dan ekonomi negara yang merudum, namun beliau tidak dapat meneruskan tugas itu lagi kerana hilang sokongan majoriti.

Beliau juga pada mulanya ada mencadangkan supaya keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada September ini, namun tindakan 15 Ahli Parlimen dari UMNO telah menarik sokongan kepadanya menyebabkan beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri lagi.

Justeru, Muhyiddin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadap mempersembahkan warkah peletakan jawatan dan pada jam 12.30 tengah hari tadi, beliau melunaskan janjinya.

Dengan itu, berakhirlah kerajaan PN yang diterajuinya selama 17 bulan 15 hari dari 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021. Tempoh pentadbirannya kurang lima bulan untuk menyamai kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

Muhyiddin mentadbir dengan baik. Beliau melantik 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri untuk memperkukuhkan Kabinetnya, yang masing-masing berfungsi mengikut perancangan.

Tugas utama dan mencabar seluruh Kabinet Muhyiddin ialah menangani penularan wabak Covid-19. Dari hari ke hari kes positif menunjukkan peningkatan sehingga mencecah lebih 20,000 kes sehari akibat kemunculan varian baharu, Delta namanya.

Pelbagai usaha dilakukan Muhyiddin bagi mengekang penularan itu, termasuk membelanjakan lebih RM500 bilion sepanjang 17 bulan memerintah bagi menamatkan perang ke atas Covid-19.

Namun, sehingga kini usaha itu belum menampakkan kejayaan walaupun pada dasarnya program vaksinasi hampir mencapai imuniti kelompok yang dijangka penghujung Oktober ini.

Sekarang, Malaysia tidak mempunyai kerajaan. Semua pentadbirannya diurus oleh caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Susulan daripada peletakan jawatan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri untuk tempoh tertentu.

Ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Inilah yang berlaku pada hari ini, hari yang mendebarkan bagi seluruh rakyat dan ahli-ahli politik untuk melihat apa kesudahan kepada kemelut politik yang berlaku sejak wujud ketidaksefahaman rakan-rakan parti gabungan dalam PN.

Dalam hal ini, tidak boleh menuding jari mencari salah siapa. Ada asbab kenapa berlaku kekucahan dalam pentadbiran PN. Mungkin kelemahan itu berpunca dari Muhyiddin dan mungkin juga ada kemaslahatan yang hanya mereka sahaja tahu.

Politik memungkinkan segala-galanya. Hari ini musuh, esok menjadi kawan. Kemudian yang berkawan baik pula jangan sangka persahabatan itu kekal selama-lamanya, kerana selagi mereka terlibat dalam politik, boleh bertukar menjadi musuh dalam sekelip mata. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. wpun TSMY kalah dan dibenci dimata MUSUH….tapi menang di HATI RAKYAT yang mendamba bantuan di pandemik ini

    Dituduh GAGAL SETELAH BERUSAHA ADALAH LEBIH MULIA daripada

    BERJAYA MEMEKIK2 BERPELUK TUBUH TANPA SEBARANG IDEA dan SOLUSI

Comments are closed.