Anggota polis membuat persiapan di hadapan Pintu 1 Istana Negara berikutan dijangka Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Istana Negara sekali lagi menjadi tumpuan pengamal media susulan suhu politik negara yang semakin hangat.

Sejak pukul 7.30 pagi tadi, kehadiran petugas media dilihat bertali arus dan mereka berkumpul di Pintu 1 Istana Negara bagi melaporkan perkembangan terkini situasi di lokasi tersebut.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung status jawatannya.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan keluar dari kediamannya pada pukul 7.45 pagi tadi.

Ketika ini Muhyiddin berada di pejabatnya di Perdana Putra bagi mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pukul 10 pagi sebelum ke Istana Negara kira-kira pukul 11.30 pagi.

Beliau dijangka membuat pengumuman selepas itu, namun tiada perincian mengenainya setakat ini.

Kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri hangat diperkatakan sejak beberapa minggu lalu susulan desakan blok pembangkang yang mempertikaikan keabsahan beliau.

Keadaan menjadi lebih panas selepas tujuh tawaran yang dikemukakan Muhyiddin dalam perutusan khas pada Sabtu lalu bagi menyambung hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditolak oleh pembangkang.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof memaklumkan Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Kedudukan Perdana Menteri mula diperkatakan apabila Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada awal bulan ini membuat ketetapan sebulat suara menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuatkuasa serta-merta. – MalaysiaGazette