KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen untuk menamakan seorang daripada Ahli Dewan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sebelum itu, beliau akan merujuk kepada pimpinan UMNO dan parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.
“Saya baru terima surat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengarahkan Ahli Parlimen menamakan seorang ahli sebagai calon Perdana Menteri kesembilan untuk dipersembahkan ke hadapan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya akan tunaikan tanggungjawab saya setelah saya merujuk kepada pimpinan parti saya serta kawan-kawan dari parti sahabat.
“Yang pasti, saya berhasrat mencadangkan seorang pemimpin terkanan parti Barisan Nasional (BN) dan mohon agar turut disokong oleh kawan-kawan Ahli Parlimen pelbagai parti yang lain,” katanya menerusi hantaran facebooknya, hari ini.
Azhar Azizan sebentar mengarahkan semua ahli Parlimen menyerahkan surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan.
Artikel berkaitan:
- Speaker minta ahli Parlimen calonkan satu nama perdana menteri
- Speaker requests MPs to nominate a PM
- Sudah lebih sejam pemimpin utama parti politik masih menghadap Agong
- Mukhriz, Zahid, Anwar mengadap Agong
Beliau, menerusi sepucuk surat kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat berkata, surat akaun itu hendaklah diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya 18 Ogos ini, iaitu esok sebelum jam 4 petang untuk perhatian Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim, Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong.
Serahan surat akaun itu perlu dibuat melalui faks, emel atau salinan pdf melalui aplikasi Whatsapp.
Menurut Annuar yang merupakan mantan Menteri Wilayah Persekutuan, ini masanya untuk semua pihak lupakan yang lalu, sebaliknya pandang ke hadapan dengan perkasakan semula perpaduan parti serta perkukuhkan muafakat dan penyatuan Melayu, bumiputera serta rakyat berbilang bangsa dan agama.
“Doakan yang terbaik buat Malaysia dan kita serahkan pada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – MalaysiaGazette