Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa calon yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) telah menerima majoriti yang mencukupi.

Menurut beliau, BN sebulat suara mencalonkan satu-satunya calon daripada gabungan itu dan mendapat lebih 69 sokongan ahli Parlimen lain.

“Alhamdulillah, baru sebentar tadi selesai perbincangan dengan ahli ahli Parlimen dan wakil parti parti sahabat yang lain untuk mohon menyokong seorang calon dari BN.

“Kami amat terharu kerana sejumlah yang lebih dari 69 yang di perlukan telah bersetuju untuk memberi laluan dan sokongan hitam putih kepada seorang calon dari BN.

“Kami MP BN akan bertemu Pengerusi BN malam ini untuk sama- sama berbincang perkembangan yang baik ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

UMNO kini sedang mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT)  di Menara Dato’ Onn di sini bagi menentukan calon pilihan parti untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri baharu.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Annuar, calon yang dikemukakan itu telah mendapat sokongan daripada 42 ahli Parlimen BN.

Ura-ura UMNO dikatakan telah menamakan bekas Timbalan Perdana Menteri PN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri baharu.

Ia setelah Perdana Menteri kelapan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan semalam. – MalaysiaGazette.