Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara (caretaker).

Namun, berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel, kerajaan sementara hanya berfungsi untuk mentadbir negara sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

Perkara itu dijelaskan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara semalam.

Menurut beliau, susulan itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri kerajaan sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Katanya, dalam menjalankan tugas itu, Perdana Menteri  sementara turut menjalankan fungsi sebagai kerajaan sementara.

“Dalam hal ini, kerajaan caretaker boleh mengambil tindakan-tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan.

“bagaimanapun, kerajaan caretaker tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki turut menggariskan lima tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan caretaker, antaranya;

1.Menjalankan tugasan rasmi rutin termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan jentera kerajaan berfungsi;

2.Mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan;

3.Meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada yang mana peruntukan kewangan baginya telah disediakan seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan juga bantuan lain sebelum tarikh Perdana Menteri meletakkan jawatan;

4.Membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah diluluskan oleh kerajaan atau peruntukan mengenainya telah diluluskan oleh Parlimen seperti Belanjawan tahun semasa; dan

5.Mengadakan dan menghadiri majlis-majlis rasmi yang telah dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast