Sulu
Azmi Hassan

KUALA LUMPUR – Mendepani tempoh kurang dua tahun untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah merupakan individu selayaknya memikul tanggungjawab sebagai perdana menteri.

Pakar Geostrategis Universiti Kebangsaan Malaysia, Azmi Hassan berpandangan, selain mempunyai pengalaman, Tengku Razaleigh juga merupakan agen pendamai dalam kalangan pemimpin hari ini.

“Sejak awal lagi, beliau sanggup memegang prinsip perjuangannya dan jangan lupa, setaraf dengan beliau adalah ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jadi kedua-duanya saya anggap sebagai dark horse yang boleh meraih sokongan daripada semua pihak.

“Bukan daripada UMNO dan Pejuang sahaja, tetapi daripada Pakatan Harapan, Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak dan Warisan Sabah,” katanya Ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk Bubar, Caretaker: Istana Penentu.

Jelasnya, pada ketika ini, Malaysia memerlukan dark horse seperti itu.

“Dark Horse yang kita lihat di depan mata kita adalah Tengku Razaleigh dan Dr Mahathir.

“Seperti di Itali, apabila Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte meletakkan jawatan, semua parti tidak berjaya menubuhkan kerajaan.

“Presiden Itali, Sergio Mattarella telah mengambil dark horse iaitu Mario Draghi. Sejak Februari lalu hingga sekarang, Draghi menerima sokongan Parlimen Itali dengan padu,” katanya.

Jelas beliau lagi, Malaysia memerlukan perdana menteri sedemikian iaitu dark horse yang tidak berbelah kepada mana-mana pihak tetapi ada prinsip perjuangannya.

“Dalam keadaan sekarang sebelum PRU15, Malaysia memerlukan pemimpin yang sudah masak dengan sepak terajang politik.

“Selain itu, pemimpin itu juga mampu bertahan dengan pelbagai tekanan,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai pemimpin muda, Azmi menjelaskan peranan pemimpin muda hanya diperlukan ketika PRU15.

“Kita memang perlukan anak-anak muda untuk memimpin, tetapi peluang itu hanya boleh ditembus ketika PRU15, pada ketika ini tidak boleh lagi.

“Pada PRU15, suara dan pemilihan adalah daripada rakyat. Sekarang adalah daripada 220 ahli Parlimen.

“Memang ada yang muda-muda dalam kalangan ahli Parlimen kita sekarangi ini, tetapi masalahnya, ramai yang sunyi sepi, tidak nampak ke hadapan kerana suhu politik terlampau panas,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, biarpun pada ketika ini Tengku Razaleigh, Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah muka lama, tetapi pengalaman mereka diperlukan untuk tempoh sebelum PRU15.

“Tak lama, hanya enam bulan hingga setahun untuk meredakan pandemik Covid-19. Jadi dalam hal ini untuk menyatakan persetujuan ini mungkin payah.

“Tetapi mereka harus juga membuat keputusan melantik seorang perdana menteri yang mendapat sokongan bipartisan,” ujarnya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletak jawatan sebagai perdana menteri kerana tidak mempunyai sokongan majoriti.

Susulan itu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan pada ketika ini, Muhyiddin adalah sebagai perdana menteri caretaker sebelum perdana menteri baharu dilantik. – MalaysiaGazette