KUALA LUMPUR – Persepsi orang ramai yang mendakwa sukar untuk memohon Pensijilan Halal Malaysia (PHM), termasuk pemprosesan lambat dan bayaran yang dikenakan mahal, tidak benar sama sekali.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh ketika menafikan dakwaan itu berkata, statistik menunjukkan sebanyak 3,117 syarikat bumiputera telah memperoleh PHM dan masih kekal aktif sehingga kini.
“Statistik itu membuktikan persepsi yang mengatakan permohonan pensijilan halal ini susah untuk diperolehi, pemprosesannya mengambil masa lama dan bayaran agak tidak, adalah tidak benar.
“Banyak permohonan yang telah berjaya dikendalikan dalam masa kurang daripada tempoh 30 hari dan ini dapat dicapai apabila keperluan pensijilan dipenuhi dengan baik.
“Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa memastikan misi dan visi dalam memperoleh pensijilan halal dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Meja Bulat bersama Agensi Pembimbing Usahawan yang diadakan secara maya hari ini.
Persidangan yang julung kali diadakan itu bertujuan memberikan peluang dan ruang kepada agensi pembimbing, pihak industri dan pihak berkuasa berwibawa untuk memperoleh maklumat, mengutarakan persoalan dan pendapat serta permasalahan berkaitan isu PHM.
Objektif persidangan itu juga untuk memperkukuhkan komunikasi dan kerjasama antara Jakim dan JAIN serta kementerian yang menjadi penaung kepada agensi pembimbing berkenaan.
Menurut Abdul Aziz, pihaknya juga sentiasa menambah baik dan komitmen dalam memastikan produk serta perkhidmatan yang menepati keperluan PHM agar dapat memacu industri halal jauh merentas benua.
Katanya, dianggarkan populasi umat Islam global akan menjangkau 2.2 bilion pada tahun 2030 dan ia sudah tentu akan menyumbang kepada peningkatan kuasa pengguna Islam.
Perkembangan itu menjustifikasikan kepentingan program pembangunan usahawan mikro, di samping mewujudkan undang-undang berkaitan aspek halal, sistem governan dalaman dan sebagainya.
Beliau berharap hasil persidangan itu diharapkan menjadi titik tolak kepada pembentukan pembangunan pelan perancangan strategik antara agensi pembimbing dalam melahirkan lebih ramai usahawan kecil dan mikro yang mempunyai pensijilan halal lebih terarah serta berfokus agar kekal berada pada landasan yang tepat.
“Kerajaan Malaysia melalui Jakim dan JAIN juga sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan PHM yang cekap, berintegriti serta memenuhi kehendak pihak berkepentingan berdasarkan undang-undang, peraturan, standard dan garis panduan berkaitan yang diguna pakai dalam Pengurusan Pensijilan Halal.
“Tambahan pula Jakim melalui Bahagian Pengurusan Halal sentiasa melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan sistem pengurusan kualiti perkhidmatan PHM selaras dengan visi dan misi bahagian serta memenuhi keperluan antarabangsa sebagai badan pensijilan seperti yang digariskan dalam Standard ISO/IEC 17065.
“Sejak 2011, pembangunan garis panduan Sistem Jaminan Pengurusan Halal telah melalui pelbagai proses harmonisasi dan transformasi serta telah mengambil kira senario industri di Malaysia,” katanya.
Kata Abdul Aziz, baik syarikat gergasi multinasional sehingga perniagaan kecil, Jakim dan JAIN akan memastikan garis panduan yang dibangunkan terus relevan untuk digunapakai.
Justeru itu, katanya, pada Januari 2020, garis panduan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) diperkenalkan bagi menggantikan Guidelines for Halal Assurance Management System of Malaysia Halal Certification (2011).
Berdasarkan garis panduan itu, pelaksanaan MHMS oleh industri adalah lebih tersasar dan khusus kerana meliputi Sistem Kawalan Halal Dalaman (IHCS) bagi kegunaan industri kecil dan mikro serta Sistem Jaminan Halal (HAS) bagi kegunaan industri besar dan sederhana.
“MHMS meletakkan tanggungjawab kepada pihak syarikat dan pemohon dalam memastikan segala keperluan Pensijilan Halal Malaysia dipatuhi sepanjang masa.
“Jakim dan JAIN amat komited dalam merancakkan lagi perkembangan industri halal di Malaysia khususnya melibatkan usahawan bumiputera.
“Melalui kerjasama strategik antara Jakim dan JAIN serta agensi pembimbing, lebih banyak lagi usahawan luar bandar berpeluang untuk melebarkan sayap perniagaan ke ruang lingkup yang lebih luas,” katanya. – MalaysiaGazette