Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan

KUALA LUMPUR – Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini boleh mengurangkan waktu menunggu untuk melakukan sebarang transaksi di Kedai Tenaga menerusi perkhidmatan janji temu dalam talian baru iaitu TNBtemujanji.

TNBtemujanji yang mula diperkenalkan 28 Jun lalu adalah platform digital dengan nilai tambah yang membolehkan pelanggan membuat janji temu di 117 daripada 123 Kedai Tenaga di Semenanjung Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk. Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, Kedai Tenaga yang selebihnya pula akan mula menggunakan perkhidmatan itu menjelang hujung bulan ini.

Katanya, Pelanggan hanya perlu melayari portal myTNB www.mytnb.com.my/TNBtemujanji untuk memilih Kedai Tenaga pilihan mereka dan menetapkan tarikh serta waktu lawatan.

“Pelanggan boleh memilih tarikh janji temu sekurang-kurangnya satu hari bekerja lebih awal dan menjadual semula janji temu mengikut keselesaan mereka.

“Ini penting untuk kami menawarkan lebih banyak nilai tambah kepada pelanggan, sejajar usaha kami dalam meneroka cara baharu bagi memberikan kemudahan lebih baik untuk pelanggan berinteraksi.

“Meskipun kami giat mendigitalkan pelbagai pilihan interaksi yang ditawarkan di Kedai Tenaga ke dalam platform myTNB bagi memberikan sokongan lebih baik kepada pelanggan, kami juga memahami terdapat pelanggan lebih suka berinteraksi secara bersemuka.

“Dengan adanya platform dalam talian bagi membuat janji temu, pelanggan dapat merancang jadual mereka dengan lebih baik berbanding terpaksa menunggu lama bagi giliran mereka,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, ini antara langkah keselamatan bagi melindungi pelanggan dan pekerja TNB menerusi kawalan kumpulan yang lebih baik di Kedai Tenaga semasa pandemik Covid-19 ini.

Menurut Ir. Megat Jalaluddin, sejak diperkenalkan, TNBtemujanji telah menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 4,600 janji temu telah dibuat.

Kata beliau, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor adalah tiga negeri yang menerima permohonan janji temu tertinggi.

“TNBtemujanji menawarkan semua jenis transaksi yang boleh dilakukan di Kedai Tenaga termasuk permohonan bekalan, pembayaran balik deposit dan menyelesaikan isu pengebilan.

“Waktu janji temu boleh dipilih dari slot masa setiap 30 minit bermula dari jam 9 pagi sehingga 30 minit sebelum waktu operasi Kedai Tenaga berakhir.

“Sejurus selepas janji temu dibuat, pelanggan akan menerima satu notifikasi pengesahan menerusi emel dan SMS beserta kod QR janji temu sebagai rujukan,” katanya.

Katanya, apabila pelanggan berada di Kedai Tenaga yang dipilih bagi janji temu, mereka hanya perlu menunjukkan kod QR tersebut kepada pegawai Perkhidmatan Pelanggan.

Pelanggan digalakkan membawa bersama kad pengenalan dan bil elektrik iaitu salinan digital dari myTNB atau salinan fizikal.

“Bagaimanapun, kami mengalakkan semua pelanggan mengambil langkah berjaga-jaga semasa pandemik ini dan memanfaatkan platform myTNB sebaik mungkin bagi mengurangkan interaksi bersemuka yang tidak penting.

“Platform yang mudah digunakan dan mesra pengguna ini memperkasa pelanggan untuk mengurus akaun mereka pada bila-bila masa, di mana jua,” katanya.

Aplikasi myTNB ini boleh dimuat turun dari Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery, manakala portal myTNB boleh dilayari di pautan www.mytnb.com.my.

Bagi pertanyaan lanjut mengenai TNBtemujanji atau myTNB, hubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 atau emel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast