(Picture for representational purposes only). The t-shirt of Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) with the picture of its Chairman, Tun Dr Mahathir Mohamad. PIX: MalaysiaGazette opposition DAP Teo Nie Ching Prime Minister
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair ( Pejuang) mengesahkan telah menghantar Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Menurut Ketua penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin, empat SD itu dihantar jam 3.40 petang tadi.

“Kami (Pejuang) menghantar Akuan Bersumpah (SD) dalam jam 3.40 petang tadi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pejuang mempunyai empat kerusi Parlimen antaranya Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad), Jerlun (Datuk Seri Mukhriz Mahathir), Kubang Pasu (Datuk Amiruddin Hamzah, dan Seri Gading (Datuk Dr Sharuddin Mat Salleh).

Ia bagi memenuhi tuntutan Yang di-Pertuan Agong yang mana perlu diserahkan selewat-lewatnya jam 4 petang tadi kepada setiausaha sulit baginda, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Ahli-ahli Parlimen perlu menyerahkan satu surat Akuan Bersumpah (SD) yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

Hal ini adalah susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat.

Ditanya mengenai calon yang dipilih oleh Pejuang, Ulya berkata, calon itu bukan daripada parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Luar parti,” katanya lagi.

Semalam, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu akan menyokong sesiapa saja yang mempunyai majoriti untuk jawatan perdana menteri asalkan calon itu bukan daripada kluster mahkamah. – MalaysiaGazette