Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Hanya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja dijemput ke Istana Negara, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, beliau dimaklumkan sesi mengadap yang berlangsung pada hari ini bertujuan mengesahkan akuan bersumpah (SD) yang telah dihantar kepada Istana Negara sebelum pukul 4 petang semalam.

“Dalam kata lain, mereka yang menyokong calon kedua itu daripada maklumat yang saya terima, mereka tidak dijemput untuk sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong.

“Tujuan mengadap ini saya difahamkan ialah untuk mengesahkan SD yang telah dihantar, adakah kita (MP) sukarela membuat akuan itu atau kita berada di bawah tekanan dan lain-lain.

“Untuk diri saya sendiri, saya sukarela mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.

”Saya yakin dengan keupayaan beliau dan saya dah kenal beliau lama ketika sama-sama berkhidmat sebagai setiausaha politik satu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Dato Onn hari ini.

Ahmad turut memaklumkan sesi mengadap beliau dijadualkan pada pukul 3 petang ini bersama ahli-ahli Parlimen BN yang lain.

Dalam nada ceria, Ahmad turut menyatakan Ismail Sabri mempunyai pakej lengkap untuk menyandang jawatan sebagai perdana menteri.

“Walaupun beliau nombor tiga di dalam UMNO iaitu selaku naib presiden, tetapi pengalaman beliau itu saya kira sudah mencukupi untuk menjadi seorang perdana menteri yang baik.

“Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai ketua pembangkang selama 22 bulan dan selepas itu dilantik sebagai menteri kanan dan seterusnya menjawat jawatan timbalan perdana menteri,” ujarnya.

Hari ini negara sekali lagi menyaksikan barisan ahli Parlimen hadir ke Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi lima sesi.

Ia membabitkan seramai 114 ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bebas.

Namun, tiada dalam senarai ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. – MalaysiaGazette