dethroned Tajuddin Abdul Rahman UMNO Supreme Council member sacked Mohamad Hasan GE15
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Permintaan-permintaan daripada rakan kongsi di bawah kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dibincangkan sebaiknya, kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, keadaan yang berlaku kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini seharusnya tidak berulang sekali lagi.

“Mungkin dah ada permintaan-permintaan daripada Bersatu atau Pas. Sebagai rakan kongsi dalam kerajaan yang akan ditubuhkan oleh Ismail Sabri nanti, eloklah dibincangkan sebaiknya.

“Kita juga mesti menjaga hati dan perasaan serta aspirasi dari setiap parti yang menganggotai kerajaan itu nanti iaitu UMNO, Bersatu, Pas jadi barulah kita boleh menubuhkan satu kerajaan yang stabil.

“Kita tidak mahu lagi mengalami keadaan yang lalu di mana kerajaan tidak stabil, adanya rasa tidak puas hati, adanya tekanan daripada mana-mana pihak.

“Kalau kerajaan yang tidak stabil dan dijatuhkan satu demi satu, yang rugi rakyat. Kita kena fikir kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian mengulas berkenaan sokongan bersyarat oleh PN kepada Ismail Sabri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, semua ahli Parlimen yang dititah ke Istana Negara hari ini telah pergi mengadap Seri Paduka Baginda.

Kata beliau, setiap seorang daripada ahli Parlimen juga telah mengesahkan sokongan melalui akaun bersumpah (SD) yang dihantar adalah dibuat secara rela hati dan bukan paksaan.

“Paduka Baginda mahu mengetahui sama ada kita beri sokongan seikhlas hati dan genuine support. Saya rasa tadi semua sudah pergi dan mengatakan sokongan masing-masing adalah sokongan yang ikhlas,” ujarnya.

Hari ini seramai seramai 114 ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengadap Yang di-Pertuan Agong menerusi lima sesi berlainan bagi menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sokongan kepada Ismail Sabri bersyarat – Muhyiddin