Hasni Mohammad
JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bersyukur kerana proses pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri berlaku secara aman.

“Alhamdulillah, kemelut pelantikan  Perdana Menteri kesembilan akhirnya dapat diselesaikan dalam keadaan aman.

“Tahniah saya ucapkan kepada YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera atas pelantikan  beliau sebagai  Perdana  Menteri  Malaysia  Kesembilan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Hasni, kepimpinan bakal Perdana Menteri di bawah Ahli Parlimen Bera itu diyakini mampu membawa kemajuan kepada negara.

Beliau turut berharap pelantikan Naib Presiden UMNO itu dapat meneruskan agenda memutuskan rantaian Covid-19.

Dalam pada itu, Hasni menyeru semua pemimpin, sama ada dalam kerajaan mahu pun pembangkang supaya tetap memberi fokus terhadap usaha menangani pandemik dengan melakukan gencatan politik.

“Marilah kita lakukan gencatan politik dan marilah bersama-sama membantu rakyat. Saya harap semua kita (pemimpin) dapat membantu rakyat khususnya di kawasan  yang  diwakili  masing-masing,” katanya.- MalaysiaGazette