KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut selepas terjatuh dari tren Transit Aliran Ringan (LRT) sebelum digilis di stesen LRT Sentul Timur di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian mengejut itu dilaporkan berlaku pada pukul 4.30 petang.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, kejadian dipercayai berlaku apabila wanita berkenaan berjalan di atas tren yang tidak bergerak.
“Wanita terbabit duduk di besi penyambung gerabak dan terjatuh apabila tren mula bergerak sebelum digilis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Eng Lai, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui daripada badan mangsa dan polis meneruskan siasatan dan mencari punca kejadian.
Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 5 petang.
Pasukan bomba yang bergegas ke lokasi kejadian dan segera membantu mengeluarkan mayat yang telah digilis tren dari landasan.
“Kerja-kerja mengeluarkan mayat selesai kira-kira setengah jam kemudian sebelum diserahkan kepda pihak polis untuk tindakan lanjut,” tegasnya.
Dalam pada itu, Prasarana Berhad dalam satu kenyataan malam ini mengesahkan kejadian itu sambil menegaskan perkhidmatan LRT di antara jajaran LRT Ampang dan Sri Petaling mengalami gangguan dari Stesen LRT Sentul Timur ke Stesen LRT PWTC ekoran insiden pukul 4.45 petang tadi.
Perkhidmatan tren LRT dari stesen LRT Putra Heights menuju stesen LRT Ampang akan beroperasi seperti biasa sehingga stesen LRT Sultan Ismail.
Dari stesen itu, bas perantara akan disediakan setiap 30 minit ke Stesen LRT Sentul Timur dan sebaliknya.
Identiti mangsa wanita yang tidak diketahui kini dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Kita amat bersimpati dengan insiden berkenaan dan meminta maaf kepada penumpang setia kami. Kedua-dua stesen yang terlibat insiden itu akan ditutup sehingga notis lanjut dikeluarkan.
“Rapid KL merayu orang awam supaya tidak menyebarkan gambar insiden sebagai menghormati privasi keluarga mangsa dan mengelak sebar sebarang spekulasi mengenai insiden itu.
“Rapid KL akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan insiden ini sementara kita juga mengambil langkah proaktif dalam memastikan aspek keselamatan penumpang terus dipelihara untuk meminimakan risiko insiden seumpama pada masa akan datang,” tegas syarikat itu.- MalaysiaGazette
Tak selamat rupanya.