Abdul Manaf Yaakub.

TEMERLOH – Hubungan erat Datuk Ismail Sabri dengan keempat-empat abangnya menjadikan Ahli Parlimen Bera yang dilantik menjadi Perdana Menteri itu disayangi kaum keluarganya.

Bagi abang keduanya, Abdul Manaf Yaakub, 81, adik bongsunya tetap merendah diri dan manja sehingga kini dengan semua abangnya.

Bahkan gelaran Pok Su Yie kepada Ismail Sabri masih melekat dalam kalangan keluarga terdekat.

Beliau merupakan anak bongsu daripada tujuh adik beradik dan dibesarkan oleh kedua orang tua berasal dari Kelantan.

Sejak kecil, menurut Abdul Manaf, adiknya itu menggemari juadah pulut tawar cicah air madu, nasi dagang dan nasi kerabu setiap kali hari lebaran.

Dilahirkan di Kampung Lubuk Kawah, Temerloh pada 18 Januari 1960, Ismail Sabri dibesarkan di Kampung Bukit Tingkat dan pernah hidup merasai kesusahan hidup sebagai penoreh getah.

Faktor itu menjadikannya pemimpin yang merendah diri dan sentiasa prihatin kepada mereka yang memerlukan.

“Beliau menghormati pemikiran dan pendapat orang lain meskipun mereka lebih rendah daripadanya, kami anak penoreh, pergi sekolah jalan kaki sehingga dua kilometer dan sentiasa kenang pengorbanan ibu bapa.

“Yie (Ismail Sabri) tidak banyak bercakap, habis sekolah asrama di Kuantan tapi dengan adik beradik memang mesra, memang semua tertumpu kepadanya.

“Sampai sekarang Yie masih manja dengan adik beradik, masih terasa bongsu walau pun sudah tua,” selorohnya  ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.

Tambah Abdul Manaf,  sebagai seorang abang, beliau bangga dengan pencapaian adiknya yang mencapai kejayaan politik yang cemerlang.

“Sangat berbesar hati sampai ke peringkat ini (Perdana Menteri). Kalau fikir peringkat, tidak munasabah namun kuasa Allah menentukan.

“Dari dulu beliau seorang teliti, cermat dan tegas dalam melaksanakan tugasan. Dari kecil beliau suka belajar dan bergaul dalam kalangan masyarakat walaupun tidak gemar bersukan,” katanya.

Beliau seterusnya mendoakan Ismail Sabri dapat menjalankan tuagas dengan baik dan berkhidmat untuk rakyat.

“Saya mengharapakan sokongan semua dan bekerjasama dengan ahli Kabinet untuk mentadbir negara dan dapat melupakan politik tetapi bersatu-padu menyelesaikan Covid -19.

“Semoga rakyat rasa puas hati dengan pemerintahannya, bentindak bijak apa perlu diambil atau diubah untuk kebaikan, mudahan-mudahan dapat mengakhiri Covid-19 dengan baik,” kata Abdul Manaf.

Ismail Sabri Yaakob mendirikan rumah tangga pada tahun 1986 bersama pasangannya iaitu Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, dan hasil perkahwinan mempunyai empat cahaya mata seorang anak perempuan dan tiga anak lelaki.

Beliau memperoleh sarjana muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya pada tahun 1980 dan pernah mendapat pendidikan di Tingkatan enam di Jaya Akademik, dan Sekolah Menengah Teknik Kuantan pada tahun 1976.

Manakala mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan pada tahun 1973, dan bersekolah Kebangsaan Bangau, di Temerloh pada 1967. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hasrat Ismail Sabri 20 tahun dulu jadi kenyataan