Nadir Al Nuri

KUALA LUMPUR – Selain Caprice, polis juga telah berjaya menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri di Palestin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada Nadir berhubung kes dakwaan fitnah terhadap pendakwah, Ebit Lew dalam masa terdekat.

Selain Caprice, seorang penyanyi rap yang nama sebenarnya, Ariz Ramli, Nadir juga telah berjaya dihubungi oleh Polis Diraja Malaysia dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).

Katanya, kedua-dua mereka berjaya dikesan dengan bantuan Interpol dan telah dihubungi pegawai penyiasat kes berkenaan petang tadi.

“Saya boleh sahkan bahawa saya sendiri sudah menghubungi Muhammad Nadir dan juga Caprice oleh pegawai penyiasat kami petang tadi.

“Kita sedia maklum kedua-dua individu berkenaan kini masih berada di luar negara menyebabkan bantuan Interpol terpaksa ditagih sebelum berjaya berhubung dengan mereka.

“Kami akan memulakan proses rakam keterangan daripada mereka dengan mengirimkan soalan-soalan yang perlu dijawab melalui dalam talian iaitu e-mel dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tunggu kelulusan Interpol rakam percakapan Caprice, Nadir

Ebit selesai beri keterangan, Nadir dan Caprice menyusul – Polis

Ebit Lew terluka dengan pelbagai cacian yang dilemparkan 

Tambah Ashari, polis mengambil pendekatan itu kerana kedua-dua individu itu kini berada di Gaza, Palestin.

Menurutnya, setakat ini polis belum menetapkan tarikh spesifik mengikut kelapangan mereka untuk menjawab soalan merakam keterangan yang akan dihantar menerusi e-mel kelak.

“Kita akan meneruskan proses rakam percakapan ke atas kedua-duanya manakala untuk Muhammad Nadir pula dia menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan polis  selepas saya berbual dengannya menerusi telefon petang tadi dan begitu juga Caprice semasa dihubungi pegawai penyiasat saya.

“Selepas mereka menerima soalan-soalan kami dan menjawab ia, kita kemudian akan melengkapkan kertas siasatan itu dan seterusnya akan merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk arahan tindakan lanjut,” tegasnya.

Semalam, Ashari mengesahkan kepada MalaysiaGazette bahawa pihaknya telah memohon bantuan Interpol untuk mengesan kedudukan Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat pendakwah Ebit Lew ke atas kedua-dua individu itu.

Katanya, permohonan kerjasama Interpol untuk mengesan kedua-dua individu itu dikemukakan menerusi e-mel bertarikh 16 Ogos 2021.

Polis dijangka akan merakam percakapannya menerusi dalam talian memandang kedua-dua individu berkenaan berada di luar negara.

Ebit membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dilontarkan beberapa individu terhadapnya menerusi laman sosial dipercayai turut berkait misi bantuan kemanusiaannya ke Palestin, baru-baru ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-MalaysiaGazette