Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Parti Perikatan Nasional (PN) komited untuk menyokong dasar dan perancangan kerajaan dalam menjayakan pelan pemulihan negara, mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sokongan tersebut didukung oleh 50 orang Ahli Dewan Rakyat bersama tiga lagi Ahli Parlimen bebas.

“Parti Perikatan Nasional yang didukung oleh 50 orang Ahli Dewan Rakyat bersama 3 Ahli Dewan Rakyat bebas akan terus bersama, bersatu padu dan komited untuk menyokong dasar dan perancangan Kerajaan Perikatan Nasional menjayakan pelan pemulihan negara, mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional pagi tadi dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh semua ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden parti-parti komponen iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

Jelasnya, mesyuarat berkenaan juga telah membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara serta mendengar dan mengambil maklum semua pandangan daripada parti-parti komponen bagi memperkukuhkan kerjasama politik dan membuat persiapan rapi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Terdahulu hari ini, Majlis Pimpinan Tertinggi PN mengadakan mesyuarat khas di Publika, di sini.

Mesyuarat tersebut yang berlangsung selama dua jam bermula pukul 10 pagi. – MalaysiaGazette