Sunday, December 15, 2024
Home Sukan TMJ beri amaran kepada Syafiq Ahmad?

TMJ beri amaran kepada Syafiq Ahmad?

Tunku Ismail (kanan) dan Syafiq Ahmad.

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan para pemain kelab itu bahawa hanya mereka yang menunjukkan prestasi baik akan diturunkan pada setiap perlawanan Liga Super.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, pemain sudah sedia maklum mengenai syarat-syarat dan polisi kelab ketika menandatangani kontrak bersama JDT.

Jelas beliau, dalam JDT, siapa yang bekerja keras pada sesi latihan dan beri persembahan terbaik akan diturunkan.

Ujar TMJ, sesiapa yang hendak cabaran dalam karier dan memenangi kejuaraan, boleh datang ke JDT.

Namun katanya, sesiapa hendak minit permainan, boleh pergi sertai kelab lain kerana tidak ada orang yang paksa dan semua pilihan atas tangan pemain sendiri.

“Ini kelab bola sepak. Bukan kelab kebajikan sosial. Siapa yang berlatih dengan bagus dan bekerja keras, dia akan bermain. Siapa yang tidak, dia tak akan bermain. Tak suka? Pintu adalah terbuka. Ini bukan penjara. ‘Simple’.

“Para penyokong JDT yang tidak tahu cerita begitu cepat terikut dengan sentimen penyokong lain. Bayangan piala ke-8 dan pencapaian kelab tak dilihat dan hargai. Mereka nak ajar saya menguruskan kelab ini. Laman-laman page bola yang kononnya pakar juga sama. ‘Loan’ player? Nak ‘loan’ ke mana jikalau jendela perpindahan sudah ditutup. Jikalau minit permainan begitu mustahak, pergi sertai PJ City dimana anda akan dapat bermain setiap perlawanan.

“Dalam JDT, siapa yang bekerja keras dalam sesi latihan dan beri persembahan terbaik akan diturunkan. Siapa yang nak cabaran dalam karier dan memenangi kejuaraan, ayuh datang ke JDT. Siapa nak minit permainan, pergi sertai kelab lain. Tidak ada orang yang paksa. Semua pilihan atas tangan pemain sendiri.

“Anda sudah sedia maklum mengenai syarat-syarat dan polisi kelab ketika menandatangani JDT. Anda kerap bermain tahun lepas dan tahun sebelum itu tetapi selepas peristiwa pahit, anda sudah berbeza. Kami beri masa, sokongan dan perhatian. Jikalau tidak berpuas hati atau setuju, datang berjumpa. Berkomunikasi, bukan tweet. Apa-apa pun, pintu sentiasa terbuka.

“Seronok tengok kawan-kawan main.” Main apa? Main bola. Nak main bola semua tempat boleh bermain bola tetapi kalau nak main bola dan bunga api, datang ke JDT,” tulis Tunku Ismail di hantaran Facebook Johor Southern Tigers.

Hantaran itu dikatakan merujuk kepada ciapan penyerang JDT, Shafiq Ahmad yang berbunyi ‘Seronok tengok kawan-kawan main’ di mana kelab itu menentang PJ City malam tadi.

Sebelum ini, status penyerang kebangsaan itu menjadi tanda tanya peminat bola sepak tempatan apabila sekian lama beliau tidak diturunkan dalam aksi kompetitif Liga Super bersama JDT.

Berdasarkan rekod, sepanjang enam aksi terakhir dalam saingan Liga Super, nama Syafiq Ahmad tidak didaftarkan oleh JDT.

Pemain berusia 26 tahun itu turut tidak berada dalam senarai bangku simpanan apatah lagi dalam kesebelasan utama sejak saingan liga super kembali bersambung.

Kali terakhir Syafiq diberi kepercayaan Benjamin Mora adalah ketika JDT beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) ketika menentang Nagoya Crampus pada 4 Julai.

Penyerang serba boleh itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-67 menggantikan Ahmad Hazwan Bakri.

Perkara ini menjadi kerisauan kepada penyokong-penyokong Harimau Malaya apabila Syafiq Ahmad tidak diturunkan untuk bermain kerana ia akan menjejaskan prestasi pemain kelahiran Pulau Pinang itu kerana minit permainan yang cukup buat seseorang pemain sangat penting dalam mengekalkan prestasi, stamina serta momentum dalam permainan.

Ini bakal menjejaskan persiapan Syafiq dalam menghadapi kelayakan Piala Asia dan AFF Suzuki bersama skuad kebangsaan nanti.

Peminat juga gusar jika ketiadaan Syafiq membarisi kesebelasan utama pasukannya bakal menutup pintu buat pemain itu untuk tersenarai dalam skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun, kelibat Syafiq masih lagi kelihatan ketika sesi latihan bersama kelabnya.

 Pada 6 Disember lalu, Syafiq terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 163.6 arah utara, dekat Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Kemalangan ngeri itu mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dan dua wanita, Zainab Wahab, 45 tahun, difahamkan ibu mertuanya, dan Titik Sukamti, 30-an.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast