Home Dunia Kelam kabut di Kabul, semakin ramai terbunuh

Kelam kabut di Kabul, semakin ramai terbunuh

KABUL – Keadaan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di sini semakin tidak terkawal dengan lebih ramai dilaporkan terbunuh.

Jurucakap tentera British mengesahkan sekurang-kurangnya tujuh maut akibat rempuhan dan tembakan rambang ketika penduduk Afghanistan cuba keluar dari negara itu.

Dalam kenyataan yang dipetik daripada TRT World, jurucakap Kementerian Pertahanan Britain berkata, situasiĀ  sekitar lapangan terbang itu amat mencabar dan pihaknya melakukan seupaya mungkin untuk mengawal keadaan.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, NATO dalam kenyataan rasmi mengesahkan sekurang-kurangnya 20 mati dalam tempoh tujuh hari ketika usaha saat-saat akhir dilakukan untuk memindahkan warga asing dan penduduk Afghanistan yang ingin keluar dari negara itu.

Sejak beberapa hari lalu, jumlah mereka yang berkumpul di kawasan sekitar lapangan terbang semakin ramai walaupun dalam keadaan panas membahang dan berdebu.

Keadaan bertambah meruncing berikutan terdapat laporan ancaman daripada Daesh sehingga memaksa segala operasi dilakukan dengan cepat.

Setakat ini tiada perincian yang diberikan mengenai kumpulan berkenaan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi seteru Taliban.

Susulan perkembangan itu, kedutaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran pada Sabtu kepada warganya supaya tidak meneruskan perjalanan ke lapangan terbang.- MalaysiaGazette