Menteri Besar Pahang melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Pahang di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) petang tadi.

KUANTAN – Pahang telah memenuhi tiga indikator yang ditetapkan untuk membolehkan negeri itu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beiau berkata, indikator tersebut adalah peratusan penduduk yang sudah lengkap divaksinasi selain penggunaan katil di unit rawatan rapi di tahap selamat dan kadar jangkitan Covid-19 di bawah angka 2,000.

Katanya, data juga menunjukkan 40 peratus iaitu kira-kira 480,000 penduduk dewasa di Pahang sudah lengkap dua dos vaksin yang merupakan satu daripada indikator ditetapkan bagi fasa tiga.

Bercakap dalam sidang media di sini, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk membuka aktiviti pasar malam dan pasar pagi yang akan diumumkan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada laporan sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Pahang di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di sini, .

Dalam pada itu, Menteri Besasr berkata, Pahang juga bakal menerima 1.74 juta dos vaksin dalam tempoh tiga bulan bermula Ogos ini.

“Sebanyak 580,000 dos vaksin akan diterima bermula bulan ini sehingga Oktober depan.

“Jangkaannya sehingga Oktober depan, kadar vaksinasi di Pahang akan mencapai sehingga 80 peratus,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin. – MalaysiaGazette