TAWAU – Semangat patriotik dan sayangkan tanah air boleh diterjemahkan dengan pelbagai cara dan bukan hanya mengibarkan Jalur Gemilang.

Ahmad Rizamsyah Mohd Noor, 29, anak jati di daerah ini menterjemahkan rasa sayang kepada tanah tumpahnya dengan cara yang berbeza.

Umum mengetahui, pandemik Covid-19 memperlihatkan jangkitan di seluruh negara dan Sabah juga tidak terkecuali malah menjadi antara negeri yang menunjukkan peningkatan kes harian sejak kebelakangan ini.

Bimbang dengan perkembangan itu, Ahmad Rizamsyah mengambil keputusan untuk menjalankan kerja sanitasi secara sukarela.

Beliau memulakan kerja amal sejak seminggu lalu dengan melaksanakan operasi sanitasi di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti bank, pejabat agensi kerajaan, kawasan kaki lima premis perniagaan dan banyak lagi.

“Kami mula buat sanitasi di tempat tinggal di Batu 3, Tawau Lama kemudian ada rakan-rakan bagi idea suruh saya buat di tempat tumpuan awam,  tempat orang selalu berurusan.

“Macam sekarang, orang ramai di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan dan di bank-bank pula kami akan buat sanitasi waktu malam, sebab masa itu orang sudah kurang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bermula dengan melaksanakan kerja sanitasi berseorangan, Ahmad Rizamsyah kemudiannya mengajak seorang lagi rakan bersama-samanya.

Meskipun tidak mengharapkan upah, Ahmad Rizamsyah yang juga bekerja sebagai penghantar barangan dan makanan itu kelihatan bersungguh-sungguh melakukan kerja amal dengan harapan daerah Tawau terhindar daripada penularan Covid-19.

Beliau dan rakannya sanggup menghabiskan masa seharian untuk melaksanakan sanitasi di pelusuk kawasan bandar yang menjadi tumpuan orang awam.

“Saya pagi akan buat kerja runner dulu, awal pagi pukul 6.30 sampai jam 11 pagi. Selepas itu, saya akan bantu isteri beli pisang untuk dia jual pisang goreng dan lekor, tolong dia di rumah.

“Paling lambat kami pernah habiskan kerja sanitasi pada 1 pagi bila mula petang pukul 4 petang,” tambahnya.

Katanya, mesin sanitasi yang dimilikinya sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan kemudian kos membeli cecair nyahkuman pula daripada wang poketnya sendiri.

Beliau gembira apabila semakin ramai yang memberikan sumbangan cecair nyahkuman kepadanya saban hari sehingga kini.

“Kalau ada yang mahu beri sumbangan wang saya tolak. Saya lebih memilih untuk sumbangan cecair nyahkuman. Saya tidak mahu nanti orang tertanya-tanya wang sumbangannya ke mana,” katanya lagi.

Bukan nama yang mahu diraih, bukan sumbangan yang diminta, Ahmad Rizamsyah hanya memohon didoakan supaya kerja sanitasi sukarela yang dilakukannya dapat diteruskan dan  menjadi asbab Tawau terhindar Covid-19

“Isteri saya memang sokong saya buat ini, walaupun isteri hamil enam bulan memanglah sepatutnya fokus untuk isteri sebenarnya tapi dia cakap jangan risau kalau niat saya buat ini untuk amal dia pun akan sentiasa dilindungi dan selamat melahirkan anak kami.

“Ramai yang nampak kami singgah tanya, “tidak penat kah?” (sambil ketawa). Saya buat ini bukan semata-mata untuk nama tapi semata-mata sayang keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Untuk rekod sehingga semalam, Sabah merekodkan 2,638 jangkitan kes Covid-19, Tawau sahaja menyumbang 259 kes dan tiga jumlah kematian terkini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast