Mohd Khairuddin Othman

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor akan terus melipatgandakan program bagi membantu mana-mana individu khususnya dalam kalangan belia yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan program Selangor Job Fair 2021 setelah tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilonggarkan kelak.

“Kerajaan Negeri memastikan program ini mendapat penyertaan syarikat besar dan ternama untuk memberi peluang pekerjaan kemahiran tinggi kepada belia.

“Selain ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan program seperti Selangor Kerjaya yang mensasarkan 3,000 pekerjaan.

“Program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang memberi latihan dalam bidang kemahiran kepada belia.

“Kerajaan Negeri juga menawarkan pinjaman mikro kredit Hijrah Selangor untuk belia memulakan perniagaan seperti Skim Zero to Hero, Skim Niaga Darul Ehsan (NADI) dan GO Digital (Skim Pembiayaan Digital),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor agar tidak terlalu banyak berpolitik serta merebut kuasa dan kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab utama untuk membela nasib rakyat.

Baginda menitahkan Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor menyemak jumlah rakyat yang telah hilang pekerjaan dan mencari jalan untuk membantu golongan ini.

Sultan Sharafuddin juga menitahkan semua Ahli Dewan Negeri Selangor mengambil tahu tentang masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat yang terjejas akibat Covid-19 di kawasan masing-masing sebelum menyalurkan bantuan sewajarnya.

“Data-data juga perlu diperolehi daripada mereka yang telah kehilangan ibu bapa tempat
pergantungan dan berhadapan dengan masalah tekanan hidup.

“Perkara ini boleh diangkat kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk ditentukan bentuk bantuan yang boleh diberikan,” titah Baginda ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021, hari ini.

Dalam pada itu, wakil rakyat juga diingatkan agar sentiasa bersama dengan rakyat, bukan sahaja ketika pilihan raya sahaja, bahkan semasa menghadapi musibah dan pandemik Covid-19.

“Beta mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat, rakyat di bawah sana memerlukan anda untuk membantu kesusahan yang sedang mereka lalui.

“Bantulah mereka, carilah mereka, bukan sekadar mencari mereka untuk mendapatkan undi sewaktu pilihan raya semata-mata.

“Ingatlah, mandat yang diberi oleh rakyat kepada Ahli-ahli Yang Berhormat semua sebagai wakil rakyat adalah merupakan amanah Allah SWT yang diletakkan ke atas bahu Ahli-ahli Yang Berhormat semua yang perlu dilaksanakan dengan jujur, bertanggungjawab dan penuh keikhlasan,” titahnya lagi. – MalaysiaGazette