Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar berkaitan sindiket ahlong di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sindiket ah long yang beroperasi sekitar daerah ini melibatkan pinjaman RM1.5 juta ditumpaskan polisĀ  selepas tertangkapnya tiga lelaki pada 18 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak hujung tahun lalu.

“Mereka menyasarkan mangsa yang terdiri daripada peniaga khususnya peniaga kecil. Jumlah pinjaman ditawarkan sindiket antara RM1,000 hingga RM100,000 denga kadar faedah bulanan sebanyak lapan hingga 15 peratus.

“Setakat hari ini kita lihat rekod seramai 80 peminjam dikesan menjadi peminjam berulang kepada sindiket ini dengan jumlah pinjaman dianggarkan RM1.5 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Kes itu jelas Ayob Khan, akan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan berasingan pada 17 Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat kegiatan khianat.

Siasatan mendapati, lelaki tersebut telah menyimbah cat ke rumah peminjam di sekitar Batu Pahat dan Segamat dengan menerimah upah RM350 untuk setiap bilangan rumah.

Kes itu menurutnya disiasat di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang (membantu kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen).

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.-MalaysiaGazette