Stuart Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang baharu.

Pelantikan Stuart melengkapkan carta organisasi MFL selepas bekasnya, Datuk Ab Ghani Hassan telah dipilih menjadi Presiden MFL bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada 12 Ogos lalu.

Menurut Ab Ghani, keputusan melantik Stuart yang berkuatkuasa menjadi Ketua Pegawai Eksekutif MFL bermula 1 September ini dilihat satu keputusan simbiosis yang bermanfaat kepada industri khususnya kepada pengurusan bola sepak tempatan.

Beliau optimis keputusan melantik Stuart untuk memegang jawatan ini berdasarkan pengalaman lebih 15 tahun yang dimiliki beliau dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi menentukan CEO MFL baharu selepas saya dipilih menjadi Presiden MFL pada minggu lepas.

“Saya bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara telah bersetuju untuk melantik Stuart sebagai CEO MFL yang baharu.

“Seperti saya katakan pada sesi sidang media pada minggu lalu, pengalaman antara kriteria penting buat CEO MFL di mana saya yakin bahawa kehadiran Stuart sudah pasti bakal memberikan anjakan paradigma kepada senario bola sepak tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Ghani percaya Stuart mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada MFL.

Untuk rekod, Stuart bermula dari karier pengurusan dalam bola sepak pada 2008 selepas dilantik oleh FIFA sebagai perunding profesional yang bertanggungjawab memberikan konsultansi kepada ahli-ahli gabungan FIFA dalam mewujudkan liga-liga baharu, mengemaskini pentadbiran persatuan negara serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran FIFA (Futuro III).

Stuart Ramalingam dilantik sebagai CEO MFL yang baharu.

Empat tahun kemudian, Stuart  dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Super League (MSL) pada 2010 and diberikan kepercayaan untuk merencanakan struktur FAM and juga aspek-aspek komersial badan induk persatuan ini.

Pada 2012, Stuart menyertai pula AFC dengan memegang pelbagai jawatan pengarah di sana termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC (termasuk AFC Champions League, AFC Cup dan kejohanan-kejohanan Futsal AFC), Pengarah Pemasaran dan juga Pengarah Social Responsibility.

Selepas berkhidmat di pelbagai tahap organisasi bola sepak, Stuart kemudiannya menjadi konsultan kepada Dentsu Sports dan IMG, dua agensi sukan terbesar di dunia pada 2014.

Di Dentsu Sports, Stuart kemudian mengambil alih jawatan naib presiden selama empat tahun sehingga tahun 2018 ini dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia termasuk penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum Stuart bertugas di Pejabat Setiausaha Agung di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 16 Julai 2018.- MalaysiaGazette