Foto Facebook Penang Football Club.

KUALA LUMPUR – Kehadiran semula trio import, Casagrande, Rafael Vitor dan Endrick dos Santos selain Khairu Azrin Khazali membantu Penang FC melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Sabah FC di Stadium Likas, pada Ahad lalu.

Casagrande yang tidak beraksi semasa Penang FC tewas 1-4 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC pada pertengahan minggu lalu membuktikan ketajamannya selaku penyerang utama pasukan apabila meledak dua gol selain satu lagi gol disumbangkan melalui Sheriddin Boboev.

Kemenangan itu meletakkan Penang kembali naik ke tangga ketiga Liga Super memintas Selangor dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan kelebihan dua mata selepas meraih 34 mata secara keseluruhan.

Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, mengakui jaringan pertama yang berjaya diperoleh sebelum separuh masa pertama berakhir memberikan banyak kesan di sebalik kemenangan pasukan.

“Bola sepak hari ini bukan segala-galanya bergantung kepada bermain dengan cantik tetapi kerja keras serta sentiasa berusaha di atas padang bagi mendapatkan jaringan.

“Kami bernasib baik apabila lawan mempunyai peluang yang cukup baik bagi mendapatkan jaringan terlebih dahulu namun tidak berjaya menyudahkannya.

“Cukup penting kami berjaya mendapatkan satu jaringan sebelum separuh masa pertama berakhir dan apabila lawan berikan tekanan bagi mencari gol penyamaan, situasi itu membuka ruang yang lebih banyak kepada kami bagi dapatkan gol kedua, itu punca di sebalik kemenangan kami.

“Pada separuh masa perlawanan, saya ada memberitahu pemain untuk elakkan lawan melakukan serangan balas apabila kami dalam situasi ‘set-piece’.

“Selain itu, saya juga ada menukar formasi pada permulaan separuh masa kedua untuk memberikan kestabilan di bahagian tengah supaya kami boleh menguasai permainan ke atas lawan, ” katanya.

Casagrande menyudahkan hantaran cantik Khairu Azrin di dalam kotak penalti pada minit-38 sebelum penyerang tinggi lampai ini menambah jaringan kedua pada minit-55 yang juga jaringan kesepuluh secara keseluruhan dalam saingan Liga Super, sekali lagi melalui tandukan selepas menyambut bola dari sepakan sudut yang diambil Endrick.

Boboev mengukuhkan kedudukan Penang FC 13 minit kemudian apabila dia berjaya melepasi kawalan pertahanan Sabah sebelum tenang menolak bola masuk menewaskan Rozaimie Rohim.

Satu lagi aksi perlawanan yang berlangsung pada Ahad lalu membabitkan Melaka United FC dan UiTM FC apabila kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 di Stadium Hang Jebat.

Rembatan kencang S. Kumaahran dari luar kotak penalti meletakkan Melaka memimpin permainan pada minit-45 tetapi ketua pasukan, Victor Nirennold menyelamatkan maruah UiTM dengan gol pada minit-83.

Keputusan seri itu meletakkan Melaka memintas kedudukan Sri Pahang untuk naik ke tangga kesembilan dengan kelebihan jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan pungutan 17 mata.

Empat lagi perlawanan yang berlangsung pada minggu lalu melihatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini semakin hampir mempertahankan kejuaraan Liga Super apabila meraih kemenangan kali kelapan berturut-turut dengan menumpaskan PJ City, 2-0 melalui gol Bergson da Silva(minit ke-27) dan Mohamadou Sumareh(minit ke-83).

Sementara Kedah Darul Aman (KDA) FC berjaya ketepikan tentangan sengit Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi terus menghidupkan peluang meraih kedudukan naib juara Liga Super melalui kemenangan 2-1.

Rabih Ataya meletakkan pelawat di hadapan pada minit-45 sebelum Syazwan Zainon menambah gol kedua lima minit kemudian sementara gol tunggal Terengganu disumbangkan David da Silva pada minit-70.

Selangor juga kian konsisten apabila menang buat kali keempat berturut-turut dengan tidak berdepan banyak masalah menumbangkan Perak FC, 3-0 di Stadium Perak, Ipoh manakala Kuala Lumpur City berjaya meraih kemenangan pertama di laman lawan menerusi kejayaan 2-0 menewaskan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast