Covid-19 deaths cases infection ICU hospital
Suasana wad pesakit Covid-19 yang kritikal ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 06 FEBRUARI 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Biar pun kes positif Covid-19 baharu mencecah sehingga 22,642 kes hari ini namun ia hanya 2.1 peratus sahaja  melibatkan pesakit kategori tiga hingga lima.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 478 kes dengan 233 daripada adalah kategori 3, 70 kes kategori 4 dan 175 kes kategori 5.

“Sebanyak 22,164 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selebihnya, menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 11,663 tergolong dalam kategori 2 (gejala ringan) dan 10,501 bagi kategori 1 (tiada gejala).

Daripada 22,164 kes positif yang direkodkan hari ini, 18,143 kes atau 80.1 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Sejumlah 22,637 kes penularan tempatan dicatatkan hari ini dengan 19,028 melibatkan warganegara dan 3,609 bukan warganegara.

Kes import pula direkodkan sebanyak lima kes melibatkan empat warganegara dan seroang bukan warganegara.

Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, Malaysia turut mencatatkan 20,798 kes sembuh sepenuhnya dengan jumlah kumulatif 1,337,134 kes.

Kes aktif pula 264,292 kes dengan 1,003 daripada memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 490 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, sejumlah 265 kes kematian melibatkan 219 warganegara dan 46 bukan warganegara.

Jumlah kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) pula adalah 69 melibatkan 51 warganegara dan 18 bukan warganegara.

Kes kematian pada hari ini yang melibatkan 105 kes di Selangor, 39 kes di Johor, 23 kes di Sabah, 19 kes di Kedah, masing-masing 18 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, 12 kes di Negeri Sembilan, sembilan kes di Perak, enam kes di Sarawak, masing-masing lima kes di Kelantan dan Pahang, empat kes di Melaka serta dua kes di Terengganu.

Untuk rekod, kes kematian tertinggi ekoran positif Covid-19 adalah 360 kes yang direkodkan pada 8 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan 42 lagi kluster baharu Covid-19 yang melibatkan 23 Kluster Tempat Kerja, 13 Kluster Komuniti, lima Kumpulan Berisiko Tinggi dan satu Pusat Tahanan. – MalaysiaGazette