Arsenal memulakan pencarian pegganti Edu di Emirates selepas dikatakan gagal merekrut pemain yang menyumbang kepada pembangunan kelab England itu sejak 2019.Kredit Foto: Instagram Edu

LONDON – Arsenal telah mengenal pasti dan menyenarai pendek Marc Overmars antara tiga calon utama menggantikan Eduardo Gaspar@Edu sebagai Pengarah Teknikal di Emirates.

Edu kini dilanda masalah selepas beberapa pemain yang direkrut beliau ke pasukan the Gunners gagal membawa hasil yang diharapkan untuk pembangunan pasukan dalam musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah kendalian pengurus Mikel Arteta.

Edu, 43, dilantik sebagai Pengarah Teknikal yang pertama untuk the Gunners pada 2019.

Namun, beberapa pembelian pemain yang gagal membawa impak tinggi mengakibatkan Edu kini dalam risiko untuk disingkirkan.

Edu bertanggungjawab membawa masuk Willian dari Chelsea, yang telah ditawarkan kontrak gaji mingguan £220,000 dan berpindah secara percuma dari Stamford Bridge.

Bagaimanapun, bintang Brazil itu gagal membawa impak dalam pasukan Arteta musim lalu.

Kini the Gunners sedang mempertimbangkan untuk membatalkan kontrak Willian dan membuka laluan kepada pemain itu balik ke kelab asalnya Corinthians.

Edu juga membeli William Saliba dengan nilai £27 juta namun pemain itu dipinjamkan semula ke kelab Ligue 1 Perancis untuk ketiga berturut-turut.

Mengambil kira segala faktor berkenaan, pengurusan tertinggi Arsenal dikatakan mempertimbangkan menggantikan Edu dengan Overmars.

Bekas pemain sayap Arsenal itu kini menyandang jawatan Pengarah Bola Sepak Ajax di Belanda.

Laporan di Emirates juga mencadangkan bekas Pengarah Teknikal Chelsea Michael Emenalo juga dalam radar Arsenal untuk menggantikan Edu.

Edu dicop sebagai pegawai ‘malas’ dengan pengrekrutan yang gagal sejak 2019.-Metro.co.uk.