Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (kanan) beramah mesra bersama penerima sumbangan pada Program “Helping Hand” Gerakan di PPR Wahyu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAk, 26 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Parti komponen Perikatan Nasional (PN), Gerakan, menolak untuk berfikir tentang jawatan Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, langkah itu bagi mengutamakan kepentingan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Ini banyak senarai nama kita terima setiap hari, oleh itu kita tidak payah fikir tentang itu kerana kerja kita adalah rakyat sahaja,” katanya kepada media, hari ini.

Dominic Lau berkata demikian selepas mengagihkan sumbangan berupa barangan keperluan harian melalui Program Helping Hand GERAKAN kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wahyu, di sini, hari ini.

Petang ini, Ismail Sabri dijadual mengumumkan senarai Kabinet baharu selepas menjawat jawatan Perdana Menteri, Sabtu lalu.

Ia selepas Ahli Parlimen Bera itu selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pagi tadi.

Pertemuan ini bagi mempersembahkan senarai nama jemaah menteri untuk mendapat perkenan baginda.

Dalam pada itu, Dominic Lau berkata, pelantikan jemaah menteri adalah hak prerogatif Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

“Ini kuasa Perdana Menteri dan kita tidak boleh persoalkan seperti yang dicatit dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi Gerakan kita masih bersama PN dan dengan jelas hala tuju PN setakat ini adalah jaga rakyat dan lawan Covid-19.

“Semoga kita dapat imuniti kelompok sebanyak 80 peratus secepat mungkin,” katanya.

Untuk rekod, Gerakan menyertai PN ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri.

Gerakan sah menjadi komponen PN pada 11 Februari lalu dan menjadi parti kelima menyertai PN.

Antara parti lain adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Memang tak sepatutnya jika PM mendengar suara rakyat. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum telah menolak parti ini. Gerakan tak menang satu kerusi pun dlm PRU sebab ditendang oleh rakyat. Untuk terus bernyawa parti ini khianat kpd rakan2nya dan menjilat PM..parti yg paling tak boleh dipercayai…

Comments are closed.