KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan bagi bulan Julai 2021 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun berbanding 11.5 peratus Jun tahun lalu.

IHPR pengeluaran tempatan mengukur kos barangan di pintu kilang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Perlombongan meningkat 57.7 peratus disebabkan harga gas asli yang lebih tinggi serta kenaikan harga yang berterusan bagi komoditi minyak mentah.

Indeks Pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan pertumbuhan dua digit 31.5 peratus (Jun 2021: 29.8%) disumbangkan oleh kenaikan harga komoditi buah tandan segar dan komoditi lain.

Di samping itu, kenaikan Indeks Pembuatan dipengaruhi oleh kenaikan harga komoditi utama dan komoditi berkaitan pembinaan (7.1%).

Dari segi Indeks Utiliti, Bekalan air dan Bekalan elektrik masing-masing meningkat 1.3 peratus dan 0.2 peratus.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan peningkatan marginal 0.6 peratus pada Julai 2021 berbanding 0.2 peratus
pada bulan sebelumnya.

Pertumbuhan positif ini disokong oleh Indeks Perlombongan yang bertumbuh 3.9 peratus, diikuti Indeks Pertanian, perhutanan & perikanan dan Pembuatan yang masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 0.2 peratus.

Namun begitu, Indeks Bekalan elektrik & gas dan Bekalan air mencatatkan penurunan 0.2 peratus.

Peningkatan IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan adalah terutamanya disumbangkan oleh Indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya yang meningkat 35.8 peratus berbanding 39.2 peratus yang dicatatkan pada Jun 2021.

Pada masa yang sama, Indeks Bahan Perantaraan, Bekalan & Komponen turut meningkat 10.5 peratus.

Namun begitu, Indeks Barang siap mencatatkan penurunan 0.4 peratus.

Trend yang sama juga dapat dilihat dalam perbandingan bulanan yang mana indeks bagi bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan bahan perantaraan, bekalan & komponen masing-masing meningkat 2.3 peratus dan 0.6 peratus.

Sementara itu, indeks barang siap turun 0.8 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast