Menara Kenanga di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) mengumumkan peningkatan sebanyak 49.4% dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATNCI) bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun 2021 (S2 2021) kepada RM30.6 juta berbanding dengan RM20.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 (ST1 2021), keuntungan bersih meningkat sebanyak empat kali ganda kepada RM64.7 juta, daripada RM13.5 juta pada ST1 2020.

Hasil disatukan bagi S2 2021 berjumlah RM212.6 juta, lebih tinggi daripada RM210.6 juta pada S2 2020.

Pulangan Tahunan ke atas Ekuiti (ROE) adalah sebanyak 12.8%, berbanding dengan sepanjang tahun 2020 sebanyak 10.7%.

Perolehan yang lebih kukuh sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan pembrokeran saham, pelaburan dan pengurusan kekayaan selain bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama dengan Rakuten Trade.

Lebih separuh daripada keuntungan Kumpulan Kenanga sebelum cukai (PBT) disumbangkan oleh segmen pembrokeran saham, yang terus menjadi penyumbang perolehan utama Kumpulan. PBT daripada segmen ini meningkat sebanyak 45.3% kepada RM20.0 juta pada S2 2021 berbanding dengan RM13.7 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pendapatan faedah bersih lebih tinggi dan juga pendapatan dagangan dan pelaburan.

Sumbangan PBT daripada bahagian pelaburan & pengurusan kekayaan meningkat lebih dua kali kepada RM6.2 juta disebabkan oleh penjanaan pendapatan yuran pengurusan lebih tinggi yang disokong oleh peningkatan aset di bawah kekuatan agensi pengurusan dan jualan.

Rakuten Trade, syarikat usaha sama Kenanga dan broker ekuiti Malaysia dalam talian sepenuhnya yang pertama, terus mencatatkan pembukaan akaun bulanan purata yang kukuh sebanyak 6,800 akaun bagi S2 2021.

Pada akhir Jun 2021, Rakuten mempunyai jumlah keseluruhan 217,400 akaun, iaitu 51,600 melebihi jumlah yang diperolehnya pada tahun lepas.

Hal yang demikian, ditambah pula dengan peningkatan perniagaan juga telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan bersih Kenanga.

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong berkata, meskipun nilai dagangan harian purata di Bursa Malaysia telah berkurangan berikutan kebimbangan sekatan pergerakan yang timbul akibat daripada penularan semula jangkitan Covid-19 di Malaysia, namun berharap ekonomi akan kembali pulih dengan segera berikutan pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan terus mencatatkan peningkatan.

Katanya, melihat ke hadapan, Kenanga akan kekal memberikan tumpuan pada usaha memperkukuh asas perniagaan dan mengembangkan penawaran
semasa bagi memastikan kekal berdaya tahan dan tangkas dalam memberikan respons kepada keperluan yang berubah-ubah dalam perniagaan
teras. – MalaysiaGazette