Dr Azmi Hassan

KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) perlu segera mengadakan mesyuarat bagi membuat dasar dan juga strategi untuk menangani isu-isu kritikal di dalam negara ketika ini.

Pakar Geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan keputusan-keputusan dibuat tanpa berfikir panjang.

“Kalau kita lihat pada minggu lepas MKN (Majlis Keselamatan Negara) mengeluarkan SOP (Prosedur Operasi Standard) boleh makan di restoran bagi mereka yang dah lengkap dua dos (vaksin).

“Kemudian dua tiga hari selepas itu mereka keluarkan SOP baharu, pekerja kedai juga perlu lengkap dua dos yang menetapkan 40 peratus pekerja. Jadi nampaknya SOP itu dibuat secara ‘ad hoc’, secara spontan tanpa berfikir panjang.

“Sepatutnya bila keluar SOP itu dah ada dah, lengkap. Jadi, ini yang jadi masalah MPN yang tidak bermesyuarat. Sebab itu dikatakan perlu ada mesyuarat segera dan pembangkang perlu ada dalam mesyuarat MPN itu,” katanya yang menjadi panelis program SkopMG bertajuk ‘Majlis Pemulihan Negara, Mana Mulanya? yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Dalam pada itu Azmi berkata, penggunaan terma imuniti berkelompok tidak lagi sesuai digunakan ketika ini.

Katanya, perkara itu boleh diguna pakai sebelum ini namun, selepas adanya pelbagai varian baharu ia tidak lagi relevan.

Ujarnya, rakyat akan mendapat persepsi yang salah dan disebabkan itu peranan MPN adalah amat penting untuk memperbetulkannya.

“Ini kerja MPN…memberi kefahaman kepada rakyat…memberi keyakinan kepada rakyat bahawa SOP dan dasar yang dibuat itu telah difikirkan.

“Tapi, nampak gayanya tidak sampai ke peringkat itu. Mungkin MPN bermesyuarat, mungkin pembangkang belum masuk lagi dalam MPN dan mungkin kepakaran yang pakar itu belum dilantik.

“Jadi, harapannya adalah mereka perlu bermesyuarat secepat mungkin kerana kita perlukan dasar-dasar yang baharu,” tambahnya. – MalaysiaGazette