Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang dipelopori Kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan lalu dan kini diteruskan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini merupakan suatu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.

Menurut beliau, Pas berpandangan langkah yang diambil itu selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia, di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas pilihan raya umum diadakan.

Justeru, katanya, Pas menyambut baik sambutan pimpinan parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ini memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial.

“Kita yakin dalam masa yang sama kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.

“Dengan ini diharapkan akan menjadi suatu permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat dari masyarakat majmuk,” katanya.

Artikel berkaitan: Pertemuan pembangkang dan PM cari titik persamaan terbaik demi rakyat

Semalam, pertemuan Ismail Sabri Yaakob bersama kepimpinan utama Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat.

Perjumpaan satu setengah jam antara Perdana Menteri, Presiden PKR, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dan Setiausaha Agong DAP itu semata-mata untuk mencari jalan terbaik menangani pandemik Covid-19.

Selain itu, mereka bersetuju untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan tadbir urus eksekutif. – MalaysiaGazette