KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA),  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana AbdulAziz, di sini.

Difahamkan, Ismail akan mempersembahkan senarai nama Jemaah Menteri yang bakal dilantik kepada YDPA.

Beliau tiba dengan menaiki pesawat khas di Pengkalan Tentera Udara Malaysia, Kem Batu 10 Kuantan dan kenderaan yang membawa beliau dilihat memasuki perkarangan Istana pada jam 10.54 pagi.

Lebih 25 petugas media berkampung di perkarangan masuk pintu utama Istana AbdulAziz sejak pukul 9 pagi.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette