Pejabat Perdana Menteri. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Barisan jemaah Menteri yang akan menganggotai Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diumumkan esok.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), pengumuman itu akan dibuat Ismail Sabri jam 11 pagi.

“Pengumuman pembentukan Kabinet baharu oleh PM, DS Ismail Sabri Yaakob esok, Jumaat 27 Ogos 2021, pukul 11 am,” kata PMO, hari ini.

Dalam pada itu, majlis angkat sumpah semua menteri dan timbalan menteri akan berlangsung pada pukul 2.30 petang Isnin ini.

Berita mengenai siapa yang akan menjawat jawatan menteri semakin panas apabila pelbagai senarai menteri dan timbalan menteri tular sebelum ini.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri menjadi topik hangat rakyat ketika ini dengab persaingan dikatakan antara Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – MalaysiaGazette