Foto Facebook Ismail Sabri.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucap takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Aming Salleh Abdullah yang meninggal dunia pagi tadi.
Ismail Sabri turut meluahkan rasa sedih dengan pemergian Muhammad Aming yang pernah mencuri perhatian di media sosial kerana Allahyarham gemar memberi pesanan yang baik-baik.
“Alfatihah. Mendapat perkhabaran sedih tentang pemergian Allahyarham adik Muhammad Aming Salleh Abdullah yang dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
“Saya pernah membuat hantaran di media sosial berkenaan pesanan yang baik-baik yang disampaikan oleh Allahyarham Adik Aming pada 23 Januari 2021.
“Ternyata Allahyarham adik Aming merupakan seorang anak yang sangat baik dan bijaksana.
“Sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah untuk Allahyarham adik Aming yang kita sayangi. Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham adik Aming. Semoga tabah menghadapi ujian ini,” tulis di hantaran Facebook miliknya sebentar tadi.

Video-video nasihat Muhammad Aming yang disifatkan sebagai comel serta kepetahannya menyampaikan nasihat secara bersahaja dalam loghat Sabah begitu menghiburkan.

Akaun Facebook kanak-kanak itu mempunyai lebih 113,000 pengikut dengan satu daripada videonya yang menasihati orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai pelitup muka yang dimuat naik pada 27 Oktober tahun lalu dikongsi lebih 49,000 kali dan mendapat 1.4 juta tontonan.

Video berkenaan turut dimuat naik semula oleh Ismail Sabri yang ketika itu menjadi Menteri Kanan (Keselamatan) di laman Facebook beliau pada 23 Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast