Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggerakkan pasukan bantuan kesihatan awam yang kedua bagi Covid-19 ke negeri Sabah pada 22 Oktober lalu.- Gambar hiasan.

TAWAU – Sebanyak 97.77 peratus bersamaan 2,943 kes positif Covid-19 di Sabah yang direkodkan hari ini daripada Kategori 1 dan 2.

Jumlah berkenaan merupakan antara 3,010 kes baharu hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 negeri itu, Datuk Masidi Manjun berkata, sebanyak lapan kesĀ  pesakit Kategori 3, satu pesakit Kategori 4 dan 15 pesakit Kategori 5.

Manakala tambahnya, sebanyak 43 kes pula masih dalam siasatan lanjut.

“Secara keseluruhan Saringan Bergejala naik kepada 31.4 peratus atau (946) kes sementara Saringan Kontak Rapat menyumbang 59.2 peratus atau (1782) kes dan Saringan Kluster hanya (37) kes.

“Hampir 37 peratus daripada kes di Sandakan merupakan kes Saringan Bergejala dan lebih tinggi daripada jumlah kes saringan melalui Kontak Rapat. Di Kota Kinabalu, kes melalui Saringan Bergejala mencecah 44 peratus.

“Daripada (3,010) kes baharu hari ini, (1,206) kes atau 40 peratus adalah kes positif yang lewat didaftar antara 2 hingga 3 hari. (213) kes atau 7.1 peratus adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara 4 hingga 5 hari dan (482) kes atau 16 peratus adalah kes daftar lewat melebihi 5 hari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Masidi menyifatkan penurunan 477 kes di negeri itu hari ini tidak menunjukkan perubahan yang ketara.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 41 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu 19 kes di Kota Kinabalu, Sandakan (lima), Tuaran (empat), Penampang dan Keningau masing-masing mencatatkan tiga kes.

Selain itu masing-masing dua di Beaufort, Lahad Datu dan Kalabakan dan satu kes di Tenom.-MalaysiaGazette