Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengharapkan barisan Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ yang baru dilantik memberikan komitmen sepenuhnya dalam usaha membebaskan negara daripada kemelut kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya juga berharap kesemua barisan Kabinet itu dapat bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai sasaran sebagaimana yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

“Kerajaan Negeri Kedah mengucapkan tahniah kepada semua mereka yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, yang mana pada hemat kami adalah seimbang serta menepati kepakaran serta pengalaman masing-masing.

“Memahami situasi semasa adalah sukar dan sarat dengan cabaran, kita mengharapkan agar barisan Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ ini dapat bekerja dengan bersungguh-sungguh seterusnya mencapai sasaran sebagaimana yang ditetapkan Perdana Menteri.

“Keutamaan harus diberikan untuk segera membawa negara kita keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 yang kini memasuki hampir dua tahun,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusia berkata, pihaknya menaruh keyakinan penuh terhadap keupayaan Perdana Menteri serta semua anggota Jemaah Menteri untuk menangani masalah ekonomi dan Covid-19 dengan cekap serta efisien.

“Dalam masa yang sama, kita juga mengharapkan agar hubungan erat Kerajaan Negeri Kedah dengan Putrajaya dapat dimantapkan lagi dari masa ke masa,” ujar Muhammad Sanusi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembentukan Kabinet yang menyaksikan pelantikan seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Seramai 31 dilantik sebagai menteri dan 38 lagi sebagai timbalan menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod, seramai 70 menteri dan timbalan menteri menganggotai barisan Kabinet di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. – MalaysiaGazette