KUALA LUMPUR – Senarai anggota Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjuruskan kepada pembentukan Jemaah Menteri yang bekerja kepada rakyat.
Kabinet berasaskan “Keberhasilan dan Prestasi” menteri-menteri mengikut kementerian merupakan satu penegasan yang cuba disampaikan oleh Perdana Menteri, kata Setiausaha Politiknya, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad.
Kata beliau, formulasi semula itu peka keperluan semasa, lebih bertanggungjawab dan amanah kepada tugas serta berupaya mengembalikan keyakinan rakyat.
“Kabinet ini wajib menunjukkan prestasi dalam masa 100 hari untuk memastikan pelan perancangan berjalan seperti diperlukan dan wajib dibuktikan kepada rakyat dan akan dinilai oleh Perdana Menteri.
“Mengenali Perdana Menteri yang kuat bekerja dan mementingkan tahap prestasi sudah pasti beliau juga mahukan seluruh kabinet di bawahnya mengambil pendekatan sama untuk melihat keputusan diharapkan.
“Jangan kita bazirkan masa yang ada dan merencatkan segala perancangan kerajaan yang akhirnya memberikan kesan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Syed Mohd Fazmi berkata, ini masa untuk bekerja dan polemik politik kepartian harus dihentikan segera untuk memberi peluang sepenuhnya kepada Perdana Menteri dan kerajaan memperbaiki serta menambahbaik segala kekurangan yang ada sebelum ini.
Kerajaan ini, katanya, memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakyat untuk memastikan negara berjaya keluar dari pandemik kesihatan dan krisis ekonomi dengan segera sebagai sebuah Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette