Ismail Sabri

JUJUR tiada yang baharu dengan Kabinet Datuk Seri Ismail Yaakob. Perubahan ini mungkin boleh disifatkan macam pertukaran susun atur kedudukan barang dalam kabinet dapur rumah kita sahaja, sedangkan mangkuk dan pinggannya masih yang lama. Mungkin begitulah.

Fakta-fakta ini mungkin boleh menjelaskan. Hampir 87 peratus muka lama daripada barisan kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin dikekalkan – 16 menteri kekal portfolio dan 11 bertukar kementerian – dengan saiz yang serupa (70 menteri = 32 menteri + 38 timbalan menteri) serta format yang sama (ada menteri kanan & tiada timbalan perdana menteri).

Hanya dua muka baharu; Datuk Seri Faizal Azumu (Belia dan Sukan) dan Idris Ahmad (Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama) yang ditampilkan dengan pengurangan golongan teknokrat dari dua orang kepada satu (Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) setelah pengguguran Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama. Jumlah menteri wanita dalam Kabinet ini juga nampaknya masih rendah.

 

Secara umum, taburan Kabinet nampak mampu memuaskan hati parti komponen yang membentuk kerajaan, tetapi tidak UMNO. Walaupun ada tiga menteri lama melakukan come back, Kem 15 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi nampaknya terus tersisih – hanya Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang tersenarai.

Reaksi kem terhadap perkara ini paling menarik untuk diperhatikan kerana kalau ini gagal diurus kita mungkin akan mengalami permasalahan serupa untuk kali ke-2. Dengan penyisihan beberapa pimpinan utama UMNO seperti Timbalan Presiden Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Naib Presiden Datuk Seri Khaled Nordin, pertembungan dalam pemilihan UMNO nanti nampaknya tidak terelak lagi.

Persoalan bagus atau tidak Kabinet ini mungkin rakan-rakan yang boleh ulas. Tapi kita juga harus bersikap adil kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Itulah sahaja pilihan yang ada dalam resource pool beliau.

Pertimbangan-pertimbangan berikut mungkin menjadi pemberat dalam membentuk Kabinetnya:

a) Perlunya mengekalkan kestabilan politik dalam gabungan pelbagai fraksi dan parti yang sangat rapuh. Sebarang perubahan drastik mungkin akan sekali lagi menggugat pentadbiran sepertimana sebelumnya.

b) Keperluan untuk meneruskan dasar-dasar yang telah/sedang dilaksanakan sebelumnya bagi memastikan kelicinan proses dan kelancaran pentadbiran, perubahan drastik juga mungkin boleh merencatkan dan mengganggu perjalanan tersebut.

c) Masa yang singkat – 100 hari mesti deliver dengan mandat yang masih ada cuma tinggal kurang dua tahun sebelum PRU15 perlu dilakukan.

Cabaran Kabinet baharu ini bukan sahaja perlu segera deliver melawan Covid-19 dan membetulkan ekonomi, tetapi menggunakan peluang kedua ini untuk membina kembali reputasi dan kepercayaan rakyat kepada mereka selepas 17 dilihat gagal.

Harap janganlah timbul pula #kerajaangagallagi selepas #kerajaangagal sebelumnya. Apapun kita wajib menghormati keputusan ini. Selamat maju jaya diucapkan.

Mujibu Abdul Muis

Mujibu Abd Muis seorang pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM)