Ariff Tuah Ahmad Sarji

PETALING JAYA – Anak bongsu kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menyifatkan arwah bapanya seorang kuat sepanjang menerima rawatan ketika berdepan komplikasi Covid-19 di hospital.

Ariff Tuah berkata, Allahyarham bertarung nyawa selama 20 hari sebelum virus bahaya itu menyerang paru-paru dan buah pinggang bapanya.

Beliau memberitahu, arwah pada mulanya kembali stabil selepas dua hari dimasukkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 namun keadaan menjadi serius selepas itu.

“Empat hari bapa menerima rawatan di wad biasa sebelum dimasukkan ke ICU kerana pernafasannya semakin sukar.

“Namun dua hari selepas itu, beliau kembali stabil namun virus mula menyerang paru-paru dan juga buah pinggang kerana arwah ada penyakit kencing manis.

“Selepas 20 hari, arwah menghembuskan nafas terakhir dan beliau seorang yang kuat,” katanya kepada media selepas urusan pengebumian selepas di sini hari ini.

Jenazah Ahmad Sarji Abdul yang meninggal dunia pagi tadi pada usia 82 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah II, Bukit Kiara kira-kira pukul 11.58 pagi.

Ahli keluarga kelihatan sebak atas pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 pada 31 Julai lalu di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 2, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2021.

Allahyarham meninggal meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Mengulas lanjut, Ariff Tuah berkata, sebelum dimasukkan ke ICU, bapanya meninggalkan pesanan yang sering diucapkan kepada ahli keluarga agar tidak meninggalkan solat.

“Bapa memang selalu pesan pasal solat dari dulu kepada semua dan ahli keluarga. Sebelum masuk ICU, arwah ada pesan lagi dan kami akan ikut nasihat itu.

“Sekarang saya akan jaga emak selepas ini,” katanya.

Sementara itu,, jenazah Allahyarham selesai disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, pada pukul 11.40 pagi.

Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menghembuskan nafas terakhir pukul 1.40 pagi ini di di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras.

Ahmad Sarji yang dilahirkan pada 16 Sept 1938 merupakan pengasas dan Pengerusi IKIM pertama yang dilantik pada 1992, sehingga disandang pula oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Sept 2015.

Pada 4 Februari 2019, Ahmad Sarji dilantik semula sebagai Pengerusi IKIM sehingga kini. – MalaysiaGazette