Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Aktiviti dagangan di Bursa dijangka lembap pada minggu akan datang yang pendek, dengan pasaran ditutup pada Selasa sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim memberitahu Bernama bahawa sebahagian peniaga dijangka mengambil peluang bercuti pada Isnin untuk mendapatkan hujung minggu yang panjang.

“Selain itu, dengan senarai menteri-menteri Kabinet yang telah diumumkan, tiada sebarang acara domestik yang besar dijangka pada minggu depan oleh pelabur.

“Oleh itu, kami menjangka FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan diniagakan dalam julat 1,575 hingga 1,595 mata minggu depan,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai barisan Kabinet berorientasikan hasil yang merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Antaranya ialah Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang telah dilantik semula sebagai Menteri Kewangan, manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal sebagai Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Datuk Seri Mustapa Mohamed kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Sementara itu, di arena global, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dijangka mengadakan mesyuarat pada 1 Sept, 2021.

“Jika mesyuarat peringkat menteri OPEC dan bukan OPEC Ke-20 diadakan, pelabur akan mengetahui reaksi negara-negara pengeluar minyak terhadap kenyataan Presiden AS Joe Biden mengenai peningkatan pengeluaran minyak yang lebih cepat untuk menstabilkan harga petrol,” katanya.

Adam berkata data ekonomi dan data aktiviti pengeluaran akan turut dikeluarkan minggu depan.

Beberapa negara, termasuk Malaysia, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Filipina, akan mengeluarkan data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) pembuatan mereka.

Thailand, Jepun dan Korea Selatan akan turut mengeluarkan data pengeluaran perindustrian minggu depan.

“Data tersebut penting untuk mengukur tahap aktiviti pengeluaran berdasarkan kesesakan rantaian bekalan,” katanya.

Dalam negara, pengukuhan Bursa Malaysia berterusan sepanjang minggu, dengan indeks barometer naik hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan pada Jumaat.

Senario politik yang lebih tenang, harga komoditi yang lebih kukuh dan prestasi pendapatan yang lebih baik menyumbang kepada kenaikan dalam pasaran ekuiti domestik.

FBM KLCI ditutup tinggi 0.2 peratus kepada 1,518 mata pada Jumaat, bertentangan dengan trend serantau bursa Asia yang mencatatkan penurunan, termasuk Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Filipina.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks petunjuk pasaran naik 72.13 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,590.16 daripada 1,518.03 sebelum ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 452.57 mata kepada 11,560.53, Indeks FBMT 100 meningkat 452.74 mata kepada 11,273.38 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 461.85 mata kepada 12,679.36.

FBM ACE naik 68.51 mata kepada 7,214.87 dan FBM 70 meningkat 371.49 mata kepada 14,970.34.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 357.30 mata kepada 6,773.68, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 644.03 mata kepada 15,486.90 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 8.30 mata kepada 196.56.

Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 24.03 mata kepada 2,785.09, Indeks Tenaga naik 53.62 mata kepada 771.64 dan Indeks Teknologi meningkat 1.43 mata kepada 90.60.

Jumlah dagangan mingguan menambah kepada 21.78 bilion unit bernilai RM14.41 bilion daripada 20.16 bilion unit bernilai RM10.82 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama, bagaimanapun berkurangan kepada 10.72 bilion saham bernilai RM12.56 bilion daripada 13.46 bilion saham bernilai RM9.17 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.76 bilion unit bernilai RM250.17 juta daripada 1.38 bilion unit bernilai RM212.08 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 6.68 bilion saham bernilai RM1.59 bilion daripada 4.99 bilion saham bernilai RM1.42 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast