Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – UMNO khususnya Biro Penerangan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) memandangkan keadaan politik semasa yang tidak dijangka.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan berkata, parti termasuk semua biro politik tidak boleh berpeluk tubuh dengan menganggap tiada sebarang perubahan besar akan berlaku dalam tempoh kemelut yang belum selesai ini.

“Kita berpandangan dalam apa jua keadaan, Biro Penerangan mesti berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan dengan ujian sebenar kelak dalam usaha membantu parti mendapat kepercayaan rakyat.

“Ujian sebenar kita nanti adalah PRU. Dalam keadaan ini, kita perlu mengorak langkah berdasarkan situasi semasa termasuk mengadakan program pidato secara atas talian sebagai usaha mengasah bakat anak muda untuk diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian pertandingan Pidato Secara Online peringkat Melaka, semalam.

Menurut Shahril Sufian, komunikasi adalah kaedah penerangan terbaik dan penting perlu dilakukan oleh parti bagi memberi kesedaran serta menarik sokongan rakyat.

Justeru, kata beliau, Biro Penerangan UMNO akan mengorak langkah berasaskan kepada situasi semasa, termasuk mengadakan program pidato secara atas talian.

“Program ini adalah usaha kita untuk mencari dan mengasah bakat sedia ada bagi diketengahkan sebagai pelapis negara masa hadapan.

“Dalam keadaan sekarang ini iaitu pandemik Covid-19, kita mesti menerima sebarang kebarangkalian, iaitu pilihan raya mungkin akan diadakan dalam keadaan kita masih berdepan dengan Covid-19.

“Ini kerana, kita lihat di negara lain walaupun vaksinasi sudah hampir lengkap atau lengkap, tetapi angka jangkitan tetap lagi meningkat,” katanya.

Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan yang menunjukkan ada varian tertentu yang agak kuat berbanding dengan vaksin yang ada setakat hari ini.

Namun, beliau berharap, jangkitan itu tidak akan membawa kepada kadar kematian yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast