KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengemukakan beberapa agenda khusus berkaitan isu reformasi pendidikan untuk perhatian dan pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut pengerusinya, Dr. Maszlee Malik, ini masanya untuk kerajaan baharu mewujudkan sistem pendidikan yang lebih mapan dan relevan dalam tempoh mencabar.
“Berasaskan semangat Keluarga Malaysia, ini masa sesuai segala cadangan dapat diperhalus beserta kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli Dewan Rakyat digembleng ke arah mewujudkan sebuah sistem pendidikan lebih mapan dan relevan dalam tempoh mencabar ini.
“Oleh yang demikian, JKKPH mencadangkan beberapa langkah untuk mereformasikan sistem pendidikan termasuk bidang pengajian tinggi seperti Reformasi Pendidikan Dasar dan Reformasi Pengajian Tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama yang dianggotai Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, PKR), Datuk Dr. Hasan Bahrom (Tampin, Amanah), Teo Nie Ching (Kulai, DAP), Natrah Ismail (Sekijang, PKR), Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam, DAP) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu, PKR).
Menurut Dr. Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Reformasi Pendidikan Dasar mencakupi, merangka satu pelan besar pendidikan merangkumi pendidikan dasar, pendidikan tinggi dan pendidikan TVET serta perancangan jangkamasa panjang yang strategik, mapan dan telus untuk pendidikan selepas pandemik berakhir.
Katanya, pernyataan polisi ‘Pendidikan di kala wabak Covid-19: Solusi buat Malaysia’ oleh mantan Menteri Pendidikan boleh dijadikan dasar dan panduan untuk tujuan berkenaan.
Selain itu, katanya, ia mencakupi penubuhan ‘Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan’ (MTPK) yang akan dianggotai pemegang taruh, terutama wakil dari NUTP, UNICEF, WHO, KKM, pakar pendidikan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), badan-badan pengkaji, NGO Pendidikan, Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Terutama mereka yang pernah bergelumang dalam sektor pendidikan untuk menangani masalah pendidikan pasca-pandemik yang amat serius ini melalui penghasilan pelan yang disebutkan serta memantau pelaksanaannya.
“Kerajaan juga hendaklah menggunakan secara maksimum kepandaian buatan dan data raya untuk membantu menangani kemelut pendidikan ini.
“Seterusnya, pengurusan berkaitan penutupan dan pembukaan sekolah sewaktu Covid-19 hendaklah diturunkan kepada peringkat sekolah dan Pejabat Pendidikan daerah (PPD) dengan persetujuan ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata, reformasi itu juga melibatkan sebarang keputusan yang dibuat hendaklah berdasarkan Sains dan data dengan dipandu garis panduan oleh WHO.
Manakala Ketua Pendidikan Malaysia (KPM) hendaklah mempunyai pakar rujukan utama berhubung Sains dan data dengan melantik pakar dari hospital universiti awam sebagai rujukan utama dan mengelakkan keputusan pukul rata.
Langkah lain dalam Reformasi Pendidikan Dasar ialah ebenaran untuk Ahli Parlimen dan ADUN tanpa kira kerajaan atau pembangkang terlibat dengan pihak sekolah dan institusi pendidikan, PPD, dan JPN di kawasan masing-masing untuk membangunkan pendidikan serta infrastruktur, bukan untuk tujuan politik.
Melaksanakan laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara 2019 terutama berkaitan Model Pendidikan Baharu dengan membawanya ke Kabinet untuk diluluskan dan dilaksanakan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
Menghidupkan semula JK Dataraya di KPM agar segala keputusan, dasar dan pendidikan dapat dirumuskan dan dipandu oleh data, Sains dan kepandaian buatan.
Pemberian insentif kepada guru dalam bentuk one-off ataupun pengecualian cukai di atas usaha dan wang ringgit yang mereka gunakan sepanjang PdPR.
Pelaksanaan semula Program Sarapan Pagi percuma kepada murid seperti mana pernah direncanakan pada 2019 apabila sekolah dibuka semula kerana ini membantu keluarga yang kini ramai tergolong dalam B50 dan juga membantu pengusaha kantin sekolah dan pembekal makanan basah ke kantin.
Beliau menjelaskan, Reformasi Pengajian Tinggi pula mencakupi penubuhan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546).
Demi menjamin kewibawaan dan kredibiliti institusi pengajian tinggi, keanggotaan Lembaga Pengurusan (LPU) Universiti Awam juga hendaklah bebas dari lantikan politik dan dihadkan hanya kepada dua penggal sahaja bagi setiap lantikan.
Imej ahli akademi Malaysia yang tercalar kerana isu penerbitan di jurnal pemangsa dan juga isu plagiarisme perlu ditangani secara sistemik. ‘Jawatankuasa Integriti Penyelidikan Kebangsaan’ yang pernah dicadangkan oleh Majlis Sains Negara (2017) perlu diwujudkan segera.
Akta 605 perlu dipinda untuk menjamin kebebasan akademik dan menjaga integriti para akademik sepertimana pernah dibawakan pada 2019, ianya hanya perlukan kelulusan dari Perdana Menteri tanpa perlu dibawa ke parlimen.
Meneruskan usaha yang telah dilakukan JK Pemansuhan AUKU untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Akta 30) dan digantikan dengan undang-undang lebih komprehensif bersekali akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555);
Meneruskan usaha penubuhan Kesatuan Pelajar di semua Institut Pengajian Tinggi.
Jelas Maszlee lagi, JKPPH dengan tegas memohon cadangan itu dipertimbang oleh Perdana Menteri termasuk Menteri Kanan Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi bagi menghentikan segala krisis pendidikan yang sedang berlaku di negara ini. – MalaysiaGazette
Bila dalam Parlimen tidak mahu pula bawa usul ini. Di luar bermacam-maam YB kata, jangan jadikan diri YB seperti netizen atau rakyat yang sembang di kedai kopi, sebab sembangnya tidak kemana pun.
betul….baru kena sergah DAPIGS terus letak jawatan KONONNYA berprinsip….YB Mazlee Menikus
isu yang menjejaskan imej Maszlee dan kerajaan ialah isu berkaitan kasut hitam, murid menggunakan kolam hotel untuk belajar berenang, pelantikannya sebagai Presiden UIAM, tidak menyambung kontrak perkhidmatan internet yang ditawarkan oleh YTL Communications Sdn Bhd, menjadikan Sabah dan Sarawak untuk guru agama berdakwah.
Tetapi isu berkaitan dengan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan sehingga mendapat tentangan keras daripada masyarakat Cina yang diterajui Dong Zong ialah ibu segala isu yang membelenggu beliau.