Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara tetap menjadi keutamaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi walau dalam apa juga keadaan.

Beliau berkata, tiada apa yang akan berubah dan berkurangan walaupun kerajaan telah bertukar kepimpinan.

“Ramai tertanya-tanya apakah sikap dan pendekatan saya selepas kerajaan bertukar? Jawapannya, tiada apa yang akan berubah. Tiada apa yang akan berkurangan.

“Kepentingan rakyat dan negara tetap jadi keutamaan saya walau dalam apa jua keadaan,” katanya menerusi hantara Facebooknya, hari ini.

Ahmad Zahid kan terus memantau, memberi pandangan dan nasihat, idea, cadangan serta teguran yang sewajarnya kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang baharu.

Tujuannya, kata beliau, adalah dengan hasrat untuk membantu kerajaan baharu membendung penularan wabak Covid-19.

“Serta memacu kembali ekonomi negara yang terkesan teruk sejak beberapa tahun lalu dan mengenai kebajikan rakyat yang wajib diberi perhatian serius.

“Lagi pun, ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak bekerjasama memulihkan negara,” katanya.

Kata beliau, Majlis Tertinggi UMNO juga telah menetapkan panduan untuk kerajaan baharu dengan menaruh kepercayaan tinggi kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersikap terbuka.

“Insya-Allah, UMNO dan presidennya tetap bersama rakyat demi raja, demi negara. Semoga semua sihat walafiat dan dalam perlindungan Yang Maha Esa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast