Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) minta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan mengenal pasti segala isu serta kepincangan yang berlaku dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Jawatankuasanya, Faiz Fadzil berkata, RCI itu perlu untuk melakukan siasatan secara menyeluruh supaya keyakinan rakyat terhadap integriti pasukan keselamatan itu dipulihkan.

Kata beliau, RCI juga berkeupayaan dan berautoriti untuk memberikan syor pemulihan dan penambahbaikan pentadbiran PDRM pada masa akan datang.

“Institusi PDRM perlu diuruskan secara profesional dan bebas daripada pengaruh politik serta anasir jenayah. Malaysia akan lebih stabil apabila kesucian institusi demokrasi negara termasuk polis dipelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, kira-kira tiga bulan lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan Menteri Dalam Negeri telah mencampuri pelantikan jawatan pegawai kanan PDRM melalui kuasa dalam Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Rentetan itu, katanya, tular satu audio perbincangan penukaran jawatan pegawai kanan polis yang diakui Menterinya ketika itu sebagai suara beliau.

Namun, kata Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan terdapat anggota polis di negeri itu yang terlibat dengan kes dadah.

Menurutnya, statistik tahun 2020 menunjukkan seramai 56 anggota polis didakwa di mahkamah termasuk melibatkan kes pengedaran dadah.

“Bagi tahun 2021 pula, 27 anggota polis didakwa setakat ini dan angka itu agak tinggi serta membimbangkan bagi sebuah pasukan keselamatan, apatah lagi badan yang berkuasa membasmi jenayah dadah.

“Pendedahan dua isu besar oleh pegawai tertinggi polis perlu diambil serius kerajaan terutama Perdana Menteri baharu.

“Pendedahan ini mencemar imej polis yang berpegang kepada prinsip integriti walaupun kita menyanjung pengorbanan mereka menjaga keamanan negara terutama ketika pandemik Covid-19,” kata beliau.

Namun, menurut Faiz, imej polis sebagai salah satu institusi demokrasi dalam negara perlu dipulihkan dan ditambah baik supaya janji Perdana Menteri kesembilan untuk melaksanakan reformasi institusi bukan sekadar umpan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast