Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim diiringi timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias bercakap pada sidang media pada hari pertama memulakan tugas di Menara Seri Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2021.

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan baharu, Datuk Seri Shahidan Kassim berjanji akan meneruskan dasar-dasar yang telah diperkenalkan bekas menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, semua yang telah dirancang Annuar akan tetap dijalankan biar pun kementerian itu sudah bertukar ‘nakhoda.’

“Semua dasar-dasar yang baik akan diteruskan dan saya ingat tidak ada masalah sebab kami hadir dalam Kabinet adalah dalam satu pasukan jadi kita tidak ada masalah.

“Sekarang apa yang telah dilaksanakan sahabat saya (Annuar) kita akan teruskan,” katanya dalam sidang media selepas mengimbas kad perakam waktu di bangunan Seri Wilayah hari ini.

Turut hadir adalah timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bersama timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias (kanan) beramah mesra dengan sebagian penjawat awam pada hari pertama memulakan tugas di Menara Seri Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2021.

Kedua-dua mereka tiba pukul 6 petang dan diberikan taklimat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Dr Rosida Jaafar.

Dalam pada itu, Shahidan dan Jalaluddin berjanji akan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Kami akan buat yang terbaik terutamanya bila diberikan penekanan tentang pencapaian 100 hari dan sebagainya. Kita ada perancangan jangka pendek dan jangka panjang dan kita akan buat yang terbaik,” katanya lagi.

Antaranya yang telah dilaksanakan mantan Menreei Wilayah adalah Rumah Wilayah Prihatin, Myscoolbus@Wilayah, MYJob@Wilayah, MyFood@Wilayah, serta Skim Perumahan Mikro.

Shahidan hari ini antara 31 menteri dan 38 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast