worst scenario new Variant of Concern VOC Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah at a news conference on the Covid-19 updates in the country. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 08 MAY 2021. Covid-19 new daily cases
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kadar vaksinasi Covid-19 yang kian meningkat khususnya di Lembah Klang terus menunjukkan tanda awal yang positif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terkini, kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital Lembah Klang menunjukkan trend penurunan.

Katanya, di Hospital Sungai Buloh khususnya, kemasukan pesakit Covid-19 bagi kategori 4 dan 5 semakin berkurangan.

“Ini selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos yang lengkap.

“Marilah kita memastikan diri sendiri dan ahli keluarga menerima dos vaksinasi lengkap bagi mengurangkan risiko keterukan penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital, mengurangkan risiko kemasukan ke ICU dan mengurangkan risiko kematian akibat Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kawasan Lembah Klang boleh beralih ke fasa seterusnya susulan kadar vaksinasi cemerlang yang sudah mencapai lebih 80 peratus.

Bagaimanapun, katanya, semua itu bakal diputuskan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 hari ini.

“Syabas Lembah Klang kerana kadar vaksinasi cemerlang yang sudah mencapai lebih 80%! Dengan ini saya berpendapat bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke fasa seterusnya,” kata Ismail Sabri.

Dr. Noor Hisham kemudian mengajak orang ramai agar mengambil dos lengkap vaksin, selain mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka sebaiknya double face dan face shield.

Selain itu, katanya, orang ramai perlu menjaga penjarakan fizikal dengan mengelakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat serta kerap mencuci tangan.

“Ini adalah usaha dan ikhtiar kita untuk mencegah dan membendung penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette