KANGAR – Putera Raja dari lima negeri iaitu Perlis, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan berkenan menzahirkan titah harapan berkaitan Malaysia secara dalam talian menerusi program ‘Harapan Diraja Pewaris Negara Merdeka’ malam esok.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Putera Raja terbabit ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin.

Menurut kenyataan itu, program tersebut akan bersiaran di Facebook Live Suara Sunnah Channel, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, MAIPs dan YouTube Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Perlis.

“Seluruh rakyat Malaysia dijemput menyaksikan siaran itu bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

“Kebersamaan Putera-Putera Raja Melayu ini menzahirkan pandangan dan harapan menerusi acara ini amat mencerminkan rasa tanggungjawab, keprihatinan serta rasa cinta terhadap negara dan betapa pentingnya untuk kita sebagai warganegara tanpa mengira kedudukan, pangkat, bangsa, budaya termasuk agama untuk sama-sama mengekal dan mempertahan keamanan serta kemerdekaan negara,” katanya. – BERNAMA